Jabatan Muzium Malaysia alu-alukan pinjaman fosil dinosaur untuk pameran

Astro Awani
Mac 4, 2014 07:38 MYT
Fosil spesies dinosaur pemakan ikan, Spinosaurid, yang dijumpai oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya.
Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mengalu-alukan mana-mana pihak atau individu yang ingin meminjamkan fosil dinosaur yang dijumpai untuk tatapan pengunjung di muzium.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Ismail berkata, mereka yang ingin berbuat demikian juga perlu memastikan kesahihan fakta dan keaslian artifak yang ingin disumbangkan.
Katanya, pihak berkenaan juga perlu merujuk kepada JMM terlebih dahulu sebelum mendakwa menemui sebarang fosil mengenai dinosaur.
"Jika ada apa-apa perkara yang memerlukan pihak kami bersama, kita tidak ada masalah. Kami sentiasa bersama pihak-pihak lain untuk mengenengahkan khazanah negara supaya ilmu dapat disampaikan melalui pameran," kata beliau.
Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas penemuan fosil spesies dinosaur pemakan ikan, Spinosaurid, di pedalaman negeri ini oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya.
Jelasnya, JMM juga bersedia bekerjasama dengan pihak muzium luar negara yang lebih berpengalaman dalam mengendalikan fosil dinosaur jika ia diberikan kelak.
#fosil dinosaur #Jabatan Muzium Malaysia #JMM
;