Jabatan Muzium anjur Seminar Bicara Warisan tidak ketara, ketengah kearifan tempatan
Bernama
Disember 14, 2023 06:30 MYT
Disember 14, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan Seminar Bicara Warisan Tidak Ketara: Kearifan Tempatan-Seni Amalan Penjagaan Ibu selepas Bersalin bagi memberi pendedahan mengenai nilai kearifan tempatan warisan khazanah negara yang mampu tampil untuk dimasyhurkan ke persada dunia.
Jabatan itu dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan seminar yang dianjurkan pada Rabu itu adalah usaha ke arah memprofesionalkan amalan warisan nenek moyang secara turun-temurun sebagai profesion dan industri yang berupaya menjana pendapatan tinggi.
Seminar yang menghimpunkan pihak industri, pengamal tradisional dan pihak berkepentingan untuk berbicara mengenai seni amalan penjagaan ibu selepas bersalin itu turut mengangkat martabat kearifan tempatan dalam kluster Warisan Tidak Ketara selain mampu menjana ekonomi negara.
"Warisan khazanah negara seperti amalan tradisional penjagaan ibu selepas bersalin ini mempunyai falsafah dan perbahasan ilmu tersendiri serta nilai yang tinggi. Oleh itu, usaha untuk memartabatkan warisan seperti ini perlu dipergiat," menurut kenyataan itu.
Seminar itu anjuran bersama CK Bidan Sdn Bhd dan Kolej Universiti Linton dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, Universiti Malaysia Sarawak, Institut Kefahaman Islam Malaysia serta Persatuan Warisan Pekan Pahang, Malaysia (Waris).
Kenyataan itu memaklumkan Kolej Universiti Linton dan CK BIDAN, yang juga pemain utama dalam industri perbidanan, telah memeterai Memorandum Persefahaman supaya amalan perubatan tradisional khususnya bagi ibu selepas bersalin dapat diamalkan secara profesional.
Latihan formal akan diberikan kepada pengamal perubatan tradisional sekali gus memberi pengiktirafan kepada mereka sebagai nilai tambah terhadap profesion perbidanan.
Menurut jabatan itu, walaupun pengamal perubatan tradisional termasuk bidan sudah lama wujud namun amalan perubatannya sukar dikenal pasti dari segi kaedah dan rawatan yang dipraktikkan susulan kurangnya pendedahan terhadap manuskrip perubatan.
"Pengetahuan dan pemberian ubat-ubatan tradisional diturunkan dari generasi ke generasi semata-mata secara lisan dari mulut ke mulut. Oleh itu, kedudukan perubatan tradisional ini masih boleh dikategorikan sebagai tidak saintifik," katanya.
Ketua Jabatan Perubatan Melayu, Kolej Universiti Linton Profesor Madya Dr Mohd Adzhar Abd Latif pula berkata usaha melangkah ke arah kajian penyelidikan secara saintifik giat dilakukan untuk mencapai tahap perubatan berasaskan pembuktian.
"Apabila sudah mencapai tahap ini, maka tiada lagi keraguan terhadap kemampuan rawatan itu untuk lebih diyakini sebagai pilihan perubatan yang selamat dan berkesan," katanya.
Anggota Tetap Majlis Perubatan Tradisional dan Komplimentari itu juga berkata perubatan tradisional Melayu telah diiktiraf manakala bilangan pengamal yang telah berdaftar dan bertauliah serta memiliki sijil amalan tahunan meningkat dari semasa ke semasa.
Pengasas CK Bidan Datuk Seri Dr Shannon Eu berkata selama lebih 17 tahun, syarikat itu telah menyediakan perkhidmatan penjagaan ibu selepas bersalin secara tradisional Melayu di Singapura dan Malaysia yang disertai 500 bidan berpengalaman dengan lebih 50,000 pelanggan.
-- BERNAMA