Jabatan Meteorologi nafi sebar amaran puting beliung
Bernama
Oktober 26, 2014 07:35 MYT
Oktober 26, 2014 07:35 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) malam tadi menafikan ia mengeluarkan amaran puting beliung dijangka berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Cuaca dan Iklim) jabatan itu Alui Bahari berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan maklumat itu, yang kini tersebar dalam Whatsapp.
"Ia maklumat palsu...hentikan penyebaran maklumat itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Maklumat itu mendakwa kononnya ribut petir selaju 80 hingga 100 kilometer sejam (km/j) akan melanda Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 27 hingga 30 Okt, yang dijangka boleh menyebabkan fenomena puting beliung di kawasan berkenaan.