Jabatan Meteorologi Malaysia belum bercadang mengadakan pembenihan awan

Astro Awani
September 11, 2015 19:00 MYT
MET turut menjangkakan keadaan berjerebu akan pulih menjelang Oktober berikutan peralihan monsun yang berlaku ketika itu. - Gambar Fail
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) belum bercadang untuk mengadakan pembenihan awan walaupun ketika ini, bilangan kawasan mencatatkan tahap tidak sihat meningkat.
Ketua Pengarah MET, Datuk Che Gayah Ismail berkata, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, MET hanya akan menjalankan pembenihan awan jika sesuatu kawasan itu mencatatkan tahap tidak sihat bagi tempoh 72 jam secara konsisten.
"Setakat ini, belum ada kawasan tertentu yang mencatatkan IPU tidak sihat secara konsisten 72 jam, namun MET bersiap sedia sekiranya ada keperluan untuk melakukan pembenihan awan," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, sebelum pembenihan awan dapat dijalankan, beberapa perkara perlu diikuti, termasuk keadaan atmosfera yang stabil, kandungan wap air yang banyak di udara serta penghasilan awan 'towering cumulus' yang tinggi dan besar.
"Namun dengan cuaca kering dan kurangnya pembentukan awan yang berpotensi membawa hujan, pembenihan awan akan menyebabkan kerugian. Ini kerana, kos bagi setiap operasi pembenihan awan adalah antara RM50,000 hingga RM80,000," katanya.
Che Gayah turut menjangkakan keadaan berjerebu akan pulih menjelang Oktober berikutan peralihan monsun yang berlaku ketika itu.
Sehingga 6 petang tadi, 16 kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU tidak sihat melebihi 100 dengan Samarahan mencatatkan IPU menghampiri bacaan sangat tidak sihat, manakala kawasan lain, termasuk Kuching dan Sri Aman di Sarawak, Larkin Lama serta Pasir Gudang di Johor dan Batu Muda di Kuala Lumpur.
Putrajaya serta empat kawasan di Selangor iaitu Pelabuhan Klang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Banting turut mencatatkan IPU tidak sihat.
Mengikut standard bacaan IPU, 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya berkata berdasarkan pemantauan kementerian di 17 klinik kesihatan, tidak ada peningkatan pesakit asma, jangkitan saluran pernafasan dan konjunktivitis akibat jerebu.
Beliau berkata 5,070 kes jangkitan saluran pernafasan dilaporkan pada minggu ke-35 (30 Ogos-5 September) menurun, berbanding 6,502 kes pada minggu ke-34 (23-29 Ogos).
"Kes asma dan konjunktivitis pula masing-masing 736 kes direkodkan pada minggu ke-35 berbanding masing-masing 837 kes pada minggu sebelumnya," katanya.
Dalam pada itu, keadaan berjerebu yang serius di Sarawak menyebabkan berlaku kelewatan beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).
Menurut Pengurus Kanan LTAK, Mohd Nadzim, sehingga petang tadi, tujuh penerbangan mengalami kelewatan antara 30 minit dan dua jam.
"Penerbangan itu melibatkan empat ketibaan penerbangan, manakala tiga lagi bagi perlepasan dari Kuching.
#Che Gayah Ismail #IPU #Jabatan Meteorologi #jerebu
;