Jabatan Khas akan diwujudkan selesai tunggakan, pembahagian harta pusaka
Abd Hadi Che Awang
Februari 14, 2022 18:28 MYT
Februari 14, 2022 18:28 MYT
SIK: Sebuah jabatan khas yang dikelolakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan diwujudkan dalam mengurus dan menyelesaikan kes membabitkan pembahagian serta tunggakan harta pusaka.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa setakat ini terdapat kira-kira 60,000 permohonan baharu berkaitan pembahagian pusaka diterima Bahagian Pembahagian Harta Pusaka setiap tahun yang mana menunjukkan trend peningkatan dari semasa ke semasa.
Situasi itu dilihat memberi banyak kekangan dan cabaran kepada Bahagian Pembahagian Harta Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) yang bertanggungjawab menguruskan harta pusaka yang bernilai di bawah RM2 juta.
Tambah beliau, pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh sebulan lagi akan memperluas bidang kuasa JKPTG dalam pengurusan pusaka, sekali gus menyebabkan jabatan itu perlu menguruskan lebih banyak kes.
"Sebagaimana disebut dalam Parlimen, saya dalam proses untuk mendapatkan pelaksanaan untuk wujudkan jabatan pembahagian harta pusaka daripada JPA. (Ssekarang ini) sudah sampai kepada peringkat JPA, jadi kita nak satu jabatan stand alone. Ia ada ketua pengarah sendiri, dan juga pengarah peringkat negeri. Sekarang ini belum ada, ini dalam proses, dalam waktu terdekat.
"Sebab kita tahu, (apabila Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) dilaksana, (ia akan sebabkan (nilaian bidang kuasa JKPTG) naik daripada RM2 juta kepada RM5 juta, itu amat besar dan perlukan jabatan.
"Pada bulan Disember, kita luluskan (Pindaan Akta Harta Pusaka Kecil) di Parlimen, kemudian mendapat perkenan Tuanku. Sekarang ini prosesnya kita sedang menyiapkan peraturan-peraturan, sebelum kita wartakan, jadi saya beritahu kepada JKPTG supaya pewartawaan ini dibuat segera dalam tempoh sebulan ini," ujar beliau.
Takiyuddin berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Kedah di Dewan Al-Hana, Sik, pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pihak KeTSA bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kaedah pendaftaran dan penyelesaian kes harta pusaka secara dalam talian.
Ia susulan agensi itu menerima lebih banyak permohonan berbanding beberapa agensi lain seperti Mahkamah Tinggi serta Amanah Raya Berhad, melibatkan isu berkenaan.
"Kita meneliti masalah itu (kekurangan kakitangan dan pegawai). Jadi kita telah mengambil langkah proaktif, antaranya kita telah bincang dengan DO (Pegawai Daerah). Antara yang dilaksanakan adalah pendaftaran online, dan pembayaran online.. ini memudahkan proses, termasuk juga ke arah perbicaraan online.
"Sebenarnya sekarang ini di beberapa tempat di Malaysia, pengurusan pusaka ini sudah dimulakan secara online. Kita nak institusikan (perkara itu), oleh kerana mahkamah pun sekarang ini telah jalankan (proses perbicaraan) secara online termasuk Mahkamah Persekutuan, jadi pusaka pun (akan diusahakan) ke arah itu," jelas beliau.