Jabatan Kesihatan Melaka tingkat pemantauan, saringan langkah awal kekang kusta
Bernama
Februari 21, 2025 06:00 MYT
Februari 21, 2025 06:00 MYT
Hee Sem sewaktu mencuba peralatan Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci Xi di Hospital Pantai Melaka pada Jumaat. - Foto Facebook/Ab Rauf Yusoh
MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka meningkatkan pemantauan dan saringan penyakit kusta dalam kalangan penduduk Kampung Orang Asli Bukit Putus, Selandar di sini sebagai langkah awal mengekang penularan wabak itu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata ini ekoran perkampungan berkenaan terletak di sempadan Negeri Sembilan yang telah merekodkan penularan wabak kusta di dua perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah.
"Langkah awal akan segera diambil sekiranya ada yang dijangkiti, bagaimanapun setakat ini tiada kes dikesan dalam kalangan penduduk Orang Asli di negeri ini melibatkan 14 perkampungan dengan lebih 2,000 penduduk," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci Xi di sini pada Jumaat.
Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ngwe berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri juga sering memberi pendedahan kepentingan menjaga kebersihan diri kepada masyarakat itu di Melaka.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan Orang Asli di Negeri Sembilan meninggal dunia akibat wabak kusta pada Isnin, manakala lapan lagi individu sedang dirawat.
Susulan itu, dua perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah iaitu Kampung Chergun dan Guntur dikuarantin serta-merta dan kes tersebut mula dikesan pada 2 Jan lepas membabitkan sembilan penduduk di dua perkampungan berkenaan.
-- BERNAMA