Jabatan Kesihatan Kelantan sah penduduk Kampung Chedok diarah jalani saringan COVID-19

Vivi Sumanti
Januari 14, 2021 21:08 MYT
Dr Zaini mengesahkan pihaknya sedang menjalankan ujian saringan di kampung berkenaan. - Gambar/ Media sosial
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan semua penduduk di Kampung Chedok, Bukit Bunga, Tanah Merah, di sini diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19, pada Khamis.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin, berkata pihaknya sedang menjalankan ujian saringan di kampung berkenaan.
"Kita tidak dapat berkongsi sebarang maklumat lanjut buat masa ini," katanya ringkas pada Khamis.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar yang menunjukkan penduduk kampung berbaris panjang menunggu giliran untuk melakukan ujian saringan COVID-19.
Saringan membabitkan semua penduduk itu dikatakan dilakukan selepas beberapa kes positif COVID-19 dikesan membabitkan perantau yang pulang ke kampung.
Kelantan pada Khamis mencatatkan 85 kes positif COVID-19 baharu dengan keseluruhan kes positif COVID-19 direkodkan kini sebanyak 1,649 kes.
Secara keseluruhan, sebanyak 18 kluster turut direkodkan di Kelantan dengan satu kluster baharu iaitu kluster Bukit Bakar diisytiharkan semalam.
#saringan #COVID-19 #kampung #kampung chedok #Tanah Merah #Kelantan #perantau #positif #jabatan kesihatan
;