Jabatan Kastam sasar kutipan GST RM40-RM42 Bilion tahun ini

Bernama
Januari 21, 2017 06:07 MYT
JKDM akan meneruskan program bersama rakyat terutamanya golongan peniaga untuk memastikan mereka lebih memahami mengenai sistem percukaian tersebut. - Gambar hiasan
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada tahun ini sekitar RM40 hingga RM42 bilion berbanding RM41.2 bilion pada 2016, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad.
Beliau berkata JKDM akan meneruskan program bersama rakyat terutamanya golongan peniaga untuk memastikan mereka lebih memahami mengenai sistem percukaian tersebut.
"Sistem percukaian ini baru sahaja dilaksanakan selama setahun 10 bulan dan kita mahu mendidik mereka untuk lebih memahami mengenai GST.
"Namun, dalam tempoh pelaksanaan cukai ini, JKDM melihat bibit-bibit kejayaan untuk kita terus melaksanakannya dengan lebih cemerlang lagi," katanya kepada media selepas Program Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia di sini hari ini.
Pada peringkat JKDM, Khazali berkata pembaharuan turut dilaksanakan termasuk mewujudkan Strategi Lautan Biru Kastam (CBOS) yang melibatkan semua bahagian JKDM sebagai penambahbaikan dalam tadbir urus sistem GST.
Setakat ini, katanya JKDM mempunyai 431,000 syarikat yang berdaftar dalam sistem percukaian GST dan usaha akan terus dibuat untuk mengesan syarikat yang layak mendaftar terutamanya perniagaan dalam talian.
"JKDM masih belum menentukan jumlah peratus peniaga dalam talian yang ada di negara ini, tetapi kita percaya masih ramai peniaga dalam talian yang belum berdaftar dengan kita.
"Jabatan Kastam akan terus mengesan perniagaan dalam talian yang mempunyai nilai ambang sebanyak RM500,000 sama ada secara luar talian atau dalam talian kerana mereka semua tertakluk kepada percukaian GST," katanya.
-- BERNAMA
#GST #JKDM #kutipan