Jabatan Imigresen tumpaskan sindiket 'Ali Rohingya’

Bernama
Februari 28, 2024 19:45 MYT
Ruslin berkata, sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama enam bulan dan mengenakan bayaran antara RM500 dan RM1,000 bagi setiap pendatang tanpa izin. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan etnik Rohingya dalam satu operasi khas di sekitar Kota Bharu, Kelantan pada Ahad lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata sebanyak 10 individu termasuk seorang lelaki dikenali Ali berketurunan etnik Rohingya dan dipercayai dalang utama sindiket berkenaan serta dua lagi disyaki tekong darat, telah ditahan dalam operasi yang dilakukan kira-kira 1 pagi.
Beliau berkata serbuan dilakuan hasil risikan oleh Pasukan Taktikal Khas Imigresen (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan Kelantan bermula 1 pagi susulan penahanan 'Geng Bob' pada 3 Feb lepas.
Katanya, pasukan operasi mengesan sebuah kenderaan jenis Perodua Kelisa dipercayai dipandu tekong darat sebelum kenderaan itu berhenti di sebuah stesen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh.
"Menyedari kenderaannya dihampiri oleh pihak berkuasa, suspek bertindak memecut kenderaan dan berlaku pelanggaran kecil dengan kenderaan pasukan operasi, tindakan pantas PASTAK berjaya menahan Ali," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas kereta berkenaan menemukan tiga wanita dan seorang lelaki warga Myanmar berumur 19 dan 21 tahun, yang dipercayai berhenti di sebuah stesen minyak dijadikan lokasi menunggu bas ekspres sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.
Susulan penahan itu, suspek membawa pihak berkuasa ke sebuah rumah dipercayai kediaman Ali dan menemukan sepucuk pistol angin, sebelum menyerbu sebuah rumah lagi di Pengkalan Kubor, Kota Bharu.
"Seorang lagi lelaki keturunan Rohingya dikenali sebagai Rahim disyaki orang kanan Ali berjaya ditahan bersama empat lagi lelaki warga Myanmar berumur 16 dan 27 tahun dan sebuah kereta jenis Perodua Viva turut dirampas," katanya.
Ruslin berkata modus operandi sindiket adalah membawa masuk pendatang tanpa izin warga Myanmar melalui laluan haram di sempadan pada waktu malam, dan ditempatkan di rumah penampungan (rumah transit) sebelum dipindahkan ke ibu kota menggunakan bas ekspres bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya, sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama enam bulan dan mengenakan bayaran antara RM500 dan RM1,000 bagi setiap pendatang tanpa izin.
"Pihak imigresen percaya dengan tertangkapnya kedua-dua tekong ini, satu lagi sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin yang aktif di Kelantan berjaya ditumpaskan," katanya menambah kesemua individu dibawa ke Pejabat Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.
Pada Februari lepas, media melaporkan rangkaian sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin dikenali 'Geng Bob' yang aktif di negeri sama berjaya ditumpaskan.
-- BERNAMA
#jabatan imigresen #sindiket Ali Rohingya #Ruslin Jusoh #pendatang tanpa izin
;