Jabatan Imigresen tumpas sindiket penyeludupan manusia di Kelantan
Bernama
Oktober 27, 2022 17:40 MYT
Oktober 27, 2022 17:40 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan manusia apabila menahan lapan lelaki yang bertindak sebagai transporter atau pengangkut dan 49 pendatang tanpa izin dalam Op Gelombang di Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas, Kelantan semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kesemua yang ditahan dalam operasi bermula 6 petang itu terdiri daripada lapan lelaki tempatan berumur 17 hingga 37 tahun serta 32 lelaki, 16 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar berumur lapan hingga 51 tahun.
Beliau berkata kesemua mereka sebelum itu dipercayai tiba dari negara jiran melalui jalan tikus sebelum dipindahkan dengan 10 kenderaan ke terminal bas berkenaan.
"Berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket ini ialah menyeludup pendatang tanpa izin melalui laluan laut melintasi sempadan Malaysia-Thailand," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dalang sindiket penyeludupan manusia itu dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap pendatang tanpa izin untuk masuk ke Malaysia sebelum mereka dibawa ke Lembah Klang, Johor Bahru, Melaka dan Pulau Pinang untuk bekerja secara tidak sah.
Khairul Dzaimee berkata bagi pendatang tanpa izin wanita, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.
Beliau berkata siasatan awal mendapati transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap pendatang tanpa izin yang diangkut dari sempadan ke terminal bas itu sebelum menaiki kenderaan awam yang ditetapkan.
Katanya, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei 2022 setelah pintu masuk sempadan kedua-dua negara dibuka semula.
"Siasatan awal juga mendapati pihak sindiket menyasarkan pendatang tanpa izin dari Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini," katanya.
Khairul Dzaimee berkata kira-kira 160 pendatang tanpa izin dibawa masuk sebulan oleh sindiket itu dan kerajaan dianggarkan mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.
Kesemua pendatang tanpa izin itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 sementara lapan lelaki tempatan terbabit akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi tujuan siasatan.
Sebanyak 10 kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM200,000 pula disita untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA