Jabatan Imigresen tumpas sindiket manipulasi Program Rekalibrasi 2.0
Bernama
Februari 15, 2024 22:20 MYT
Februari 15, 2024 22:20 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket penipuan dipercayai memanipulasi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 dengan mengenakan bayaran RM7,000 bagi pendaftaran setiap individu, dalam serbuan di Petaling Jaya, Selangor, semalam.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata serbuan oleh pasukan daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, dilakukan pada 10 malam di sebuah premis dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun disyaki dalang utama sindiket itu, ditahan.
Beliau berkata turut dirampas wang tunai sebanyak RM2,000, 188 pasport Bangladesh, lima pasport Indonesia, masing-masing empat pasport India, Pakistan, Nepal dan satu pasport Thailand, selain pelbagai borang permohonan Program RTK 2.0 dan sebuah komputer riba.
"Modus operandi sindiket yang dipercayai telah beroperasi selama setahun ialah menyasarkan warganegara dari negara sumber seperti Bangladesh, India, Pakistan, Indonesia, Nepal dan Thailand yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.
"Suspek akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah ini, kemudian menawarkan perkhidmatan yang disediakan seperti urusan permohonan Program RTK 2.0 di Pejabat Imigresen," katanya menambah individu yang ditahan itu tidak mempunyai pas sah untuk berada di negara ini.
Ruslin berkata lelaki itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut.
Sementara itu, katanya seorang wanita warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
-- BERNAMA