Jabatan Imigresen Sabah usir 254 PATI ke Indonesia
Petrus Bernard
April 23, 2021 04:47 MYT
April 23, 2021 04:47 MYT
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah mengusir seramai 254 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia melalui pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Tunontaka Nunukan, Indonesia pada Jumaat.
Program penghantaran pulang PATI pada jam 10 pagi itu merupakan siri ketiga bagi tahun 2021 dengan kerjasama Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, kesemua PATI tersebut merupakan tahanan di depot-depot imigresen negeri Sabah sejak tahun 2020 dan telah menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).
"Setiap PATI dipastikan menjalani saringan kesihatan dan bebas daripada jangkitan COVID-19 sebelum dihantar pulang," katanya dalam kenyataan media di sini, pada Jumaat.
Untuk rekod, sejak Januari hingga April 2021, Jabatan Imigresen Sabah telah menghantar pulang 1,229 PATI dan program itu akan berterusan dari semasa ke semasa walau negara berhadapan penularan wabak COVID-19.