Jabatan Imigresen perkukuh tiga strategi bendung rasuah di kalangan pegawai

Azyyati Ahmad
Oktober 24, 2016 17:53 MYT
sidang media selepas Majlis Dialog Bersama Wakil Industri di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia pada Isnin. - Foto Astro AWANI
Jabatan Imigresen Malaysia akan membersihkan peringkat dalaman jabatan itu dengan menerapkan tiga strategi penting bagi membendung kegiatan rasuah di kalangan pegawai-pegawainya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata dari 14,400 jumlah pegawainya, masih ramai yang berintegriti dalam menjalankan tugas, dan perkara itu perlu dipertahankan.
“Tiga strategi yang akan dilakukan adalah tindakan dari dalaman, tindakan pencegahan dan juga pendidikan yang berterusan mengenai elemen integriti dalam penguatkuasaan,
"Sistem prosedur kerja juga kita akan perbetulkan. Sebagai contoh, selepas ini kita tidak akan benarkan ada ruang untuk membenarkan berlakunya rasuah.
"Dalam masa yang sama, pendidikan yang berterusan dalam mendidik pegawai dalaman dan orang di luar mengenai integriti. akan dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan mengenai 37 pegawai penguatkuasa yang mengambil upah kira-kira RM18 juta sejak 2014 dengan membawa masuk dan keluar warga asing melalui laluan mudah ke negara ini.
Beliau dimaklumkan, dari jumlah itu, empat daripada mereka masih ditahan untuk siasatan manakala empat lagi telah dituduh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan menunggu perbicaraan.
Selebihnya masih disoal siasat dan berada di bawah pengawasan pihak Jabatan Imigresen.
"Kalau ada pegawai yang terlibat dan didapati bersalah, kita akan kenakan tindakan yang sepatutnya ke atas mereka.
“Saya sebagai Ketua Pengarah sedia maklum bahawa ini satu ketetapan tetapi ada dalang yang mengusahakan mereka-mereka ini diberi dirasuah, dan dia berjaya.
“Saya tak salahkan orang luar tetapi adalah penting ketika ini kita bersihkan sebersih-bersihnya di peringkat dalaman,” katanya pada sidang media selepas Majlis Dialog Bersama Wakil Industri di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia pada Isnin.
Kumpulan pegawai penguatkuasa ini yang terdiri daripada 27 lelaki dan 10 wanita telah membawa masuk dan keluar lebih 16,000 warga asing dari pelbagai negara dengan kadar upah yang berbeza antaranya Bangladesh, India, Vietnam dan China.
Angka itu diperolehi hasil soal-siasat terhadap 74 suspek yang 37 daripadanya adalah pegawai penguatkuasa yang diberkas dalam Operasi Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Februari sehingga 12 Oktober lalu.
#Jabatan Imigresen Malaysia #Mustafar Ali #Rasuah
;