Jabatan Imigresen jumpa 13 kedutaan berhubung pelaksanaan e-Kad
Bernama
Februari 28, 2017 22:41 MYT
Februari 28, 2017 22:41 MYT
Tiga belas kedutaan negara sumber diberikan taklimat berhubung pelaksanaan program kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu perjumpaan dengan Jabatan Imigresen di sini, hari ini.
Perjumpaan itu, yang dipengerusikan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, dihadiri 28 wakil daripada kedutaan Bangladesh, Turkmenistan, Myanmar, Nepal, India, Sri Lanka, Filipina, Uzbekistan, Pakistan, Thailand, Kemboja, Indonesia dan Vietnam.
Mustafar dalam kenyataan sempena perjumpaan itu berkata objektif utama pertemuan tersebut adalah supaya kedutaan berkenaan dapat memberikan sokongan kepada program E-Kad itu.
"Jabatan Imigresen berharap pihak kedutaan dapat membantu melancarkan urusan pengeluaran pasport kepada warganegara masing-masing yang terlibat dalam program E-Kad ini," katanya.
Dalam perjumpaan itu, Mustafar berkata wakil-wakil kedutaan juga diberi penerangan secara terperinci tentang ciri-ciri keselamatan E-Kad dan bagaimana menangani risiko pengeluaran E-Kad yang tidak sah oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Kita juga berbincang tentang kerjasama Jabatan Imigresen dan kedutaan-kedutaan asing dalam menangani isu penyeludupan manusia," katanya.
Mustafar berkata turut diberi penekanan adalah sokongan kedutaan terhadap Jabatan Imigresen bagi menggesa majikan supaya bertanggungjawab mendaftarkan pekerja mereka di 12 lokasi pusat mendaftar di seluruh Semenanjung Malaysia.
E-Kad boleh dimohon secara percuma bermula 15 Feb sehingga 30 Jun depan. Kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Feb tahun hadapan.
-- BERNAMA