Jabatan Bomba Melaka bersiap sedia hadapi cuaca panas berpanjangan

Astro Awani
Februari 3, 2015 22:42 MYT
Kota A Famosa antara salah satu ikon bandaraya Melaka. - Gambar Fail
Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka siap siaga untuk berdepan kemungkinan cuaca panas berpanjangan hingga April.
Persediaan lebih rapi melibatkan aspek respon terhadap kebakaran hutan seperti yang berlaku tahun lalu.
“Berdasarkan rekod tahun lalu, pihak Bomba Melaka menerima 3,431 panggilan kes kebakaran sepanjang tahun lalu, peningkatan hampir dia kali ganda berbanding 2013,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Negeri, Ahmad Adli Abd Rahman.
Sementara itu, pihak pemaju dan industri digesa tidak melakukan pembakaran terbuka.
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Shafe'ee Yasin, setakat ini pihaknya menerima lima aduan pembakaran terbuka di tapak projek pembinaan di sekitar Bandaraya Melaka dan kebakaran belukar.
Kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Pengusaha premis industri dan pemaju projek pembangunan seluruh Melaka dinasihatkan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan keadaan berjerebu. Tindakan undang-undang akan diambil serta-merta kepada mereka yang didapati mencemarkan alam sekitar,” tambah Shafie’ee.
Kata beliau, pihaknya juga akan melakukan pemantauan 24 jam bagi mengesan sekiranya berlaku sebarang kebakaran terbuka.
#Ahmad Adli Abd Rahman #cuaca panas #jabatan bomba #kebakaran hutan #pembakaran terbuka #penyelamat #persediaan #rapi #Shafe'ee Yasin
;