Jabatan Bomba bakal perkenal cara persediaan menghadapi gempa bumi

T K Letchumy Tamboo
Jun 8, 2015 14:46 MYT
JBPM bakal memperkenalkan cara persediaan menghadapi bencana gempa bumi dan cara-cara untuk menyelamatkan diri semasa dan selepas gempa bumi berlaku, dalam pendidikan awam mereka.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal memperkenalkan cara persediaan menghadapi bencana gempa bumi dan cara-cara untuk menyelamatkan diri semasa dan selepas gempa bumi berlaku, dalam pendidikan awam mereka.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata JBPM akan memberi latihan menyelamat kepada semua malim gunung yang beroperasi di Gunung Kinabalu kerana mereka adalah responden awal kepada bencana gempa bumi.
“JBPM juga akan membekalkan mereka dengan peralatan yang sesuai untuk kerja-kerja menyelamat.
“Pada masa yang sama, JBPM akan meletakkan peralatan menyelamat yang sesuai di atas gunung iaitu di Laban Rata dan di pejabat Taman Sabah di kaki gunung.
“Dengan cara ini malim-malim gunung yang mempunyai banyak pengalaman dalam topografi gunung boleh membantu kerja awalan mencari dan menyelamat bila ada bencana berlaku,” katanya.
Semalam Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun memberitahu pemberita bahawa 16 mayat telah ditemui sementara dua orang lagi diklasifikasi sebagai hilang.
Yang maut termasuk enam warga Malaysia, tujuh warga Singapura dan masing-masing seorang warga Filipina, China dan Jepun.
Kejadian berlaku ekoran gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang turut melanda gunung tertinggi di Asia Tenggara itu pada pagi Jumaat lalu.
#gempa bumi #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) #Rahman Dahlan
;