Jabatan Audit Negara bakal berubah status menjadi suruhanjaya - PAC

Astro Awani
Januari 25, 2015 10:00 MYT
NUR JAZLAN: Perubahan status itu bakal membolehkan Jabatan Audit Negara tersebut tidak perlu terikat dengan syarat dan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jabatan Audit Negara yang bertindak mengeluarkan Laporan Ketua Audit Negara bakal berubah status menjadi suruhanjaya agar lebih cekap membuat semakan perbelanjaan awam.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam memetik apa yang telah diutarakan oleh Ketua Audit Negara sendiri, lapor The Malaysian Insider pada Ahad.
Kata Nur Jazlan, perubahan status itu bakal membolehkan jabatan tersebut tidak perlu terikat dengan syarat dan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Ia akan membenarkan juruaudit kerajaan untuk berfungsi lebih cekap dan mencapai tahap ketelusan yang lebih tinggi seperti dimahukan pembayar cukai,” katanya.
Tambah Nur Jazlan, jabatan audit harus memperbaiki proses mereka termasuk cara menghasilkan Laporan Ketua Audit Negara.
“Sebagai contoh kontroversi Laporan Ketua Audit Negara berhubung sambutan Hari Belia 2012 yang melaporkan bahawa kerajaan persekutuan membayar RM1.6 juta membawa tiga kumpulan K-pop membuat persembahan.
"Laporan itu gagal menyebut mengenai RM20 juta yang diterima kerajaan daripada penganjur bagi persembahan tersebut,” terang Nur Jazlan.
Oleh yang demikian, Nur Jazlan yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai mahu supaya Jabatan Audit Negara perlu mempunyai tahap yang sama seperti standard audit komersil.
“Tahap kecekapan dan kualiti laporannya serta staf, perlu lebih tinggi supaya orang ramai boleh benar-benar bergantung kepada laporan jabatan," katanya.
Menyentuh mengenai pekerja, Nur Jazlan turut mengharapkan agar dengan perubahan status ini, penggajian lebih ramai akauntan profesional dapat dilaksanakan.
"Saya diberitahu yang seluruh jabatan audit ini hanya mempunyai 4 atau 5 akauntan profesional. Profesional dengan kelayakan ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) paling sukar didapati.
"Sistem kerajaan juga tidak mengiktiraf akauntan profesional, ia menganggap mereka sebagai pemegang ijazah dan meletakkan mereka ke dalam tahap gaji yang sama, iaitu lebih rendah daripada apa yang digaji kepada akauntan sama dalam sektor swasta.
"Jika jabatan tidak dapat menarik akauntan profesional untuk menyertainya, ia tidak boleh memperbaiki kecekapannya," kata Nur Jazlan yang ditemui di forum "Laporan Ketua Audit: Audit Kerajaan: Formaliti atau Akauntabiliti?" anjuran Institut Pulau Pinang di Universiti Terbuka Wawasan di Pulau Pinang, Jumaat lalu.
#Jabatan Audit Negara #Jawatankuasa Kira-Kira Awam #Laporan Ketua Audit Negara #Nur Jazlan Mohamed #PAC
;