Jabatan Alam Sekitar perlu tingkatkan penguatkuasaan lebih agresif dan tegas
Bernama
September 27, 2018 04:33 MYT
September 27, 2018 04:33 MYT
Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang kini berada di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) perlu meningkatkan penguatkuasaan dengan lebih agresif dan tegas selari dengan kehendak kerajaan baharu masa kini.
Pengarah JAS Pahang Rosli Zul berkata apabila JAS tidak lagi berada di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, pastinya banyak perubahan yang perlu dilakukan ke arah lebih progresif dari aspek pemuliharaan alam sekitar.
"Di bawah kementerian baharu, menteri telah mengarahkan penguatkuasaan dijalankan lebih agresif oleh JAS.
"Tindakan tegas juga perlu diambil bagi ketidakpatuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya pada perasmian Seminar Pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling di sini pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Operasi, Che Mahamud Ismail.
Rosli berkata bagaimanapun, pematuhan kendiri dalam kalangan masyarakat khususnya pihak industri kepada akta berkenaan tetap diteruskan.
"Kerjasama setiap premis yang tertakluk di bawah pemakaian Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 amat ditagih bagi memastikan pematuhan kendiri dapat dilaksanakan dan dijadikan amalan.
"Memandangkan seminar kali ini berkaitan Peraturan Udara Bersih 2014, salah satu elemen yang dititikberatkan adalah pematuhan kendiri pihak kilang terhadap keberkesanan sistem kawalan pencemaran udara yang dipasang.
"Mereka perlu memastikan ia berfungsi dengan baik dan mematuhi nilai batas pengeluaran pencemaran udara berdasarkan peraturan terkini," katanya .
-- BERNAMA
#alam sekitar
#Jabatan Alam Sekitar
#kerajaan
#MESTECC
#pemuliharaan
#penguatkuasaan
#perubahan iklim