J-KOM terap budaya jati diri, cinta tanah air bagi Semarak MADANI

Bernama
Jun 17, 2023 05:15 MYT
Muhammad Agus berkata walaupun terdapat perbezaan dari segi pandangan, perpaduan perlu diraikan dan harus ditunjukkan kepada masyarakat bagi mencapai matlamat itu. - Gambar fail BERNAMA
PASIR MAS: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menerapkan budaya jati diri, rasa cinta kepada tanah air bagi mengelak perasaan benci dan saling mencurigai sesama warga Malaysia menerusi Program Semarak MADANI.
Ketua Pengarah J-KOM Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Muhammad Agus Yusoff berkata sebagai sebuah masyarakat yang majmuk, rakyat seharusnya mempunyai sikap saling sayang-menyayangi dan bertoleransi sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI itu sendiri.
"Justeru penganjuran Program Semarak MADANI, selain beramah mesra dengan penduduk melalui pelbagai aktiviti ini juga antara inisiatif kerajaan untuk mendapatkan isu-isu setempat dan mencari ruang membantu rakyat mendepani isu-isu tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kelab Sukan dan Rekreasi Bukit Jarum serta Akademi Bola Sepak Bukit Jarum di sini semalam.
Menurutnya, program itu akan diteruskan ke seluruh negara pada masa depan kerana banyak lagi golongan yang perlu diberi penerangan dan disantuni.
Muhammad Agus berkata walaupun terdapat perbezaan dari segi pandangan, perpaduan perlu diraikan dan harus ditunjukkan kepada masyarakat bagi mencapai matlamat itu.
"Program Semarak Madani J-KOM telah memasuki siri keenam dan sebelum ini dilaksanakan di Zon Tengah - Tambun, Perak, Zon Tengah - Sepang, Selangor, Zon Selatan - Rembau dan Sikamat di Negeri Sembilan dan Zon Utara - Pendang, Kedah.
"Program ini dilaksanakan sebagai wadah penyatuan komuniti melalui program kerjasama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), persatuan penduduk, kariah masjid, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya.
Beliau berkata program MADANI bukan sahaja akan melibatkan penduduk kampung, tetapi juga banyak lagi komuniti perlu didekati termasuklah pemandu teksi, masyarakat Felda, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan gelandangan.
Katanya, J-KOM perlu menghadirkan diri bagi menunjukkan kasih sayang diteladani melalui wadah MADANI terhadap masyarakat yang didekati, sejajar dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencipta kestabilan dan kemajuan negara.
-- BERNAMA
#J-KOM #Semarak MADANI #Muhammad Agus Yusoff #budaya jati diri
;