J-KOM kini di bawah seliaan Kementerian Komunikasi
Umavathi Ramayah
Disember 13, 2023 15:57 MYT
Disember 13, 2023 15:57 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), kini diselia Kementerian Komunikasi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Rabu.
"'Ada satu agensi yang dibawa masuk ke dalam Kementerian Komunikasi ialah J-KOM. Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
"Selain itu, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MyCreative Ventures akan dikekalkan di bawah Kementerian Komunikasi," katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan agensi-agensi lain seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan MYNIC Berhad telah dipindahkan ke Kementerian Digital di bawah menterinya, Gobind Singh Deo.
Dalam pada itu katanya, kementeriannya belum memutuskan mengenai status Digital Nasional Berhad.
"Digital Nasional Berhad masih dalam perbincangan dan akan diputuskan kemudian," ujarnya.