Ivermectin perlu dinilai dengan ujian klinikal sebelum diluluskan - Dr Musa Nordin

Nailah Huda
Februari 6, 2021 13:44 MYT
Ivermectin dibangunkan di Jepun pada 1970-an sebagai rawatan anti-parasit dan digunakan secara meluas di seluruh dunia, dengan sebanyak 3.7 bilion dos diedarkan. - shutterstock.com
KUALA LUMPUR: Ivermectin yang dicadangkan sebagai rawatan COVID-19 harus dinilai melalui proses ujian klinikal sama seperti vaksin mRNA sebelum digunakan di negara ini, ujar Pakar Pediatrik Dr Musa Nordin.
Dr Musa, Perunding Pediatrik & Perubatan Hospital Pakar KPJ Damansara, mengulas mengenai cadangan sekumpulan individu yang menggesa supaya kerajaan segera meluluskan penggunaan ubat tersebut yang dilihat sebagai ‘senjata’ yang selamat, murah dan berkesan.
“Tahap penilaian sama terhadap vaksin mRNA juga perlu dilaksanakan ke atas Ivermectin.
“Ivermectin harus dinilai berdasarkan disiplin saintifik iaitu ujian secara rawak dan plasebo-terkawal (double-blind), sama seperti vaksin mRNA dan AstraZeneca," kata Dr Musa kepada Astro AWANI.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan kerajaan sedang membangun ujian klinikal untuk penggunaan Ivermectin dan Favipiravir sebagai rawatan COVID-19 di negara ini.
Jelas Dr Musa, data bagi menyokong penggunaan Ivermectin untuk rawatan profilaksis atau COVID-19 bagaimanapun masih tidak mencukupi setakat ini.
Dr Musa yang juga salah seorang pengasas inisiatif Immunise4Life, merujuk kepada penilaian panel Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat yang mendapati ubat berkenaan masih memerlukan sokongan data.
Garis panduan perubatan COVID-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat 17 Disember lalu turut tidak menyenaraikan Ivermectin sebagai salah satu rawatan.
“Ivermectin harus disahkan menerusi ujian yang lebih besar, secara rawak dan terkawal sebelum keputusan itu boleh dinilai oleh pihak berkuasa,” ujar Dr Musa.
Ivermectin dibangunkan di Jepun pada 1970-an sebagai rawatan anti-parasit dan digunakan secara meluas di seluruh dunia, dengan sebanyak 3.7 bilion dos diedarkan.
#Ivermectin #rawatan COVID-19 #Dr Musa Nordin #Noor Hisham Abdullah #Hydroxychloroquine #Favipiravir #ubat #terapi #COVID-19 #vaksin #Pfizer #AstraZeneca
;