'Itulah sosok Presiden Indonesia.. Saya anggap Jokowi sebagai sahabat sejati' - Anwar

Astro Awani
Jun 8, 2023 16:38 MYT
Anwar Ibrahim berkata, rundingan dua hala Malaysia-Indonesia berlangsung dalam suasana sebagai sebuah keluarga dan sahabat sejati. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi sebagai sahabat sejati.
Perdana Menteri berkata, rundingan dua hala kedua-dua negara itu berlangsung dalam suasana sebagai sebuah keluarga dan sahabat sejati.
"Saya tidak mahu menganggap ini sebagai lawatan kerja biasa ataupun hubungan dua hala biasa kerana (saya) anggap Jokowi dan rakan Indonesia yang saya ungkap tadi sebagai sahabat sejati... dan perundingan kita itu perundingan keluarga, sahabat.
"Dalam sejarah hubungan dua hala dengan mana-mana negara di dunia, peningkatan kerjasama dan persefahaman dalam masa yang singkat dengan Indonesia ini luar biasa," katanya pada sidang media bersama Jokowi di Kompleks Seri Perdana di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji Jokowi yang memilih untuk menyantuni rakyat di Chow Kit, Kampung Baru di ibu negara sebaik sahaja selepas pertemuan di Putrajaya.
"Acara presiden hari ini luar biasa, santai. Saya tanya mahu ke mana, Jokowi beritahu ingin ke Chow Kit, Kampung Baru.
"Itulah sosok Presiden Indonesia, selain ke istana petang ini, pilihannya masih ke medan rakyat di Kuala Lumpur. Bapak tetap keluarga dan sahabat, kami anggap jasa seperti mana (ketika) terperosok di penjara dan keluar, Jokowi masih dianggap sahabat sejati," ujarnya.
Sementara itu pada sidang media yang sama, Jokowi yang turut menyifatkan Anwar sebagai sahabat baik berkata, lawatannya itu adalah kunjungan balas Anwar ke republik itu pada Januari lalu.
#Anwar Ibrahim #Joko Widodo #lawatan kerja #Wisma Putra
;