Itulah istimewanya gajah Borneo, banggalah rakyat Sabah - Dr Nurzhafarina

Harits Asyraf Hasnan
Mac 1, 2018 20:05 MYT
Dr Nurzhafarina Othman berkata ia memberi mesej bahawa haiwan ini sedang melalui proses penerimaan cara kehidupan manusia. - Foto Dr Nurzhafarina
Tindakan seekor gajah yang memasuki kantin sebuah sekolah di Telupid, Sabah dilihat sebagai antara keistimewaan sifat gajah Borneo.
Pengarah Projek Seratu Aatai, Dr Nurzhafarina Othman berkata rakyat Malaysia terutama penduduk di Sabah perlu berbangga dengan hidupan liar ini.
Malah, ia memberi mesej bahawa haiwan ini sedang melalui proses penerimaan cara kehidupan manusia.
"Itu menunjukkan bahawa gajah kita di Borneo ini amat istimewa.
"Kalau ia masuk ke kawasan manusia dan tidak diganggu atau diberi gangguan yang tak sepatutnya, ia tidak akan mendatangkan kerosakan atau apa-apa kemudaratan.
"Gajah Borneo ini telah mula bersedia untuk menerima cara kehidupan manusia, kawasan manusia dan berhadapan dengan manusia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
TONTON: Gajah sesat cari makan di dewan makan SMK Telupid
TONTON: Walaupun gajah ini nampak comel namun…
Bagaimanapun tegasnya, persepsi gajah terhadap manusia juga boleh berubah jika ia diancam.
"Cuma kalau kita memberi tekanan kepada gajah-gajah ini tanpa sebab seperti ketika ia sedang makan, ia akan menyebabkan perubahan persepsi gajah terhadap manusia.
"Daripada ia menganggap manusia ini tidak ada apa-apa (ancaman), akhirnya ia akan menganggap kita (manusia) seperti musuh," katanya yang telah sekian lama menjalankan kajian terhadap gajah.
Jelasnya, punca gajah yang memasuki kantin sebuah sekolah di Telupid, Sabah adalah disebabkan akses makanan yang mudah di kawasan tersebut seperti pisang.
Walaupun faktor cuaca dan habitat menjadi antara faktor pergerakan gajah, namun Nurzhafarina melihat ia lebih kepada sumber makanan.
Bagaimanapun, beliau akui perlu ada tindakan pengusiran gajah dengan cara yang betul bagi mengelakkan lebih banyak masalah timbul seperti kerosakan harta awam, kebun dan pelbagai lagi.
Beliau pada masa sama berharap supaya semua pihak memainkan peranan yang penting dalam menggalas tanggungjawab memulihara gajah Borneo.
#Borneo #Dr Nurzhafarina Othman #gajah Borneo #gajah masuk sekolah #Pengarah Projek Seratu Aatai #Telupid
;