'Itu telur ayam yang dikupas kulitnya, bukan telur penyu' - Bung Moktar
Eleanor Michelle Patrick
Jun 25, 2021 00:36 MYT
Jun 25, 2021 00:36 MYT
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini menafikan tuduhan liar di media sosial yang mendakwanya tidak sensitif dengan hidangan 'terlarang' telur penyu.
Sambil menyifatkan tuduhan itu adalah fitnah, beliau turut berpendapat ia taktik kotor sebagai cubaan menjatuhkan karier politiknya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah itu dalam masa sama tampil memberi penjelasan bahawa telur yang didakwa hanyalah telur ayam dikupas kulit, bukannya telur penyu seperti didakwa.
"Saya sedia dipanggil pihak berkaitan dan memberi keterangan, tiada masalah.
"Ini adalah fitnah bagi menjatuhkan karier politik saya dan saya sudah biasa dengan keadaan ini.
"Namun, saya menafikan sekeras-kerasnya apa yang didakwa pengguna media sosial dan meminta mereka terlibat dengan taktik kotor sebegini, supaya berhentilah," katanya, ketika dihubungi pada Jumaat malam.
Terdahulu, sejak tengah hari tadi, tular satu foto dimuat naik pengguna Facebook memperlihatkan Bung sedang bergambar dengan seorang individu di meja makan di mana salah satu juadah didakwa segelintir pihak mirip kepada telur penyu.
Dalam pada itu, pemilik Facebook, dikenali sebagai Rapidcdorezo tampil memohon maaf kepada Menteri Kerja Raya Sabah berkenaan kerana gambarnya bersama Bung Moktar dalam foto tular sehingga mencetuskan kontroversi.
Rapidcdorezo dalam pautan Facebooknya turut mendakwa foto yang dimuatnaiknya telah dimanipulasi serta disunting pihak tertentu.
Pemilik Facebook itu turut memuat naik gambar asal bagi menjelaskan keadaan sebenar.