"Itu pandangan peribadi Abu Zahar, kami kemuka cadangan lain" - 6 Ahli LPPR
Astro Awani
Januari 8, 2022 14:27 MYT
Januari 8, 2022 14:27 MYT
KUALA LUMPUR: Enam Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menyifatkan kenyataan yang dibuat Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Rabu lalu adalah pandangan peribadi beliau.
Menerusi satu kenyataan bersama, enam ahli LPPR itu juga menegaskan, mereka pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepas itu tidak pernah menyatakan pendapat seperti yang dinyatakan Abu Zahar.
Sebaliknya, mereka mengemukakan cadangan berasingan susulan dakwaan pemilikan saham dengan jumlah melampau berkait Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
"Sebelum sidang media itu, anggota LPPR mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan supaya perkara itu dirujuk selanjutnya kepada mana-mana panel dan jawatankuasa berikut:
i) sebuah Jawatankuasa Bebas;
ii) Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah;
iii) Panel Aduan SPRM.
"Bagaimanapun, pandangan dan cadangan kami tidak dibangkitkan pada sidang media Abu Zahar itu," memetik kenyataan enam ahli LPPR yang dikeluarkan hari ini.
Enam individu yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof. Datuk Mohammad Agus Yusoff.
Mengikut rekod SPRM, terdapat tujuh anggota LPPR termasuk Abu Zahar yang juga Pengerusinya.
Mengulas lanjut, enam individu itu menegaskan, LPPR tiada kuasa penyiasatan susulan penubuhannya adalah sebagai Lembaga Penasihat.
Malah, mereka menjelaskan bahawa mereka perlu memberi penjelasan menerusi kenyataan bersama tersebut bagi menjaga integriti LPPR serta institusi tersebut.
Abu Zahar dalam sidang medianya pada Rabu lalu mengakui berpuas hati dengan kenyataan yang dibuat Azam berkenaan isu pemegangan saham dengan jumlah melampau.
Selain menyifatkan Azam tiada kepentingan kewangan (pecuniary) atau benefisial (beneficial) bagi pembelian atau pemilikan saham berkenaan, Abu Zahar berkata akaun saham Azam digunakan oleh adiknya, Nasir Baki dan ia dilakukan di pasaran terbuka sekali gus tiada percanggahan kepentingan.