ITU mesti permudahkan penghantaran data penerbangan - Shabery Cheek
Bernama
April 2, 2014 14:09 MYT
April 2, 2014 14:09 MYT
Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) mesti membangunkan sistem tercanggih untuk memudahkan penghantaran data penerbangan dalam masa nyata susulan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan Malaysia percaya bahawa data daripada pesawat termasuk dari kotak hitam boleh dihantar secara berterusan dan disimpan di pusat data di bumi.
"Saya menggesa ITU bekerjasama dengan industri berkaitan untuk membangunkan sistem yang lebih maju dan berkesan untuk memantau data penerbangan dan memantau apa yang berlaku dalam kokpit," kata beliau pada perasmian Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia di Dubai, menurut laman web ITU www.itu.int pada Selasa.
Ahmad Shabery menarik perhatian bahawa ekoran kemajuan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekarang, penggerak utama bidang itu seharusnya dapat mengambil dan menganalisis data ini tanpa perlu untuk mencari kotak hitam.
"Saya percaya bahawa perubahan semudah ini mungkin boleh menghasilkan perubahan yang berbeza sekarang.
"Dalam konteks ini, saya ingin menegaskan bahawa walaupun teknologi komunikasi telah bergerak pantas sejak lima tahun lepas, tetapi teknologi kotak hitam tetap tidak berubah sejak 30 tahun lalu," kata Ahmad Shabery.
Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Sementara itu, Setiausaha Agung ITU Hamadoun I. Toure berkata ITU mesti memastikan bahawa Penerbangan MH370 dapat dikesan dalam masa nyata agar insiden tragik dan belum pernah berlaku sebelum ini tidak berulang.
Beliau melahirkan rasa penuh simpati dan bimbang terhadap ketidakpastian yang menyelubungi nasib penumpang dalam pesawat itu sambil berkata semua syarikat penerbangan komersial dan pesawat korporat dikehendaki memasang dan menggunakan kotak hitam untuk mengesan beberapa parameter penerbangan.
Menurut beliau, perakam data penerbangan (FDR) direka untuk merakam data yang beroperasi dari sistem pesawat termasuk altitud tekanan, kelajuan udara dan kedudukan sistem kawalan.
Dalam pada itu, Pengarah Biro Penstandardan ITU Malcolm Johnson berkata ITU mempelawa pengeluar avionik dan pesawat selain pengendali satelit dan syarikat penerbangan untuk membangunkan sistem baharu untuk mengesan pesawat dalam masa nyata.
"Kami berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Ahmad Shabery Cheek dan akan mengambil langkah-langkah untuk menangani keadaan dengan segera," kata beliau.