Itu kisah silam, saya dah pun jalani hukuman - Rahim Noor
Astro Awani
Ogos 27, 2018 17:51 MYT
Ogos 27, 2018 17:51 MYT
Segala yang berlaku adalah kisah silam dan hukuman telah pun dijalankan.
Itu penjelasan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika diminta mengulas bantahan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar terhadap pelantikannya sebagai fasilitator keamanan di selatan Thailand.
“Saya enggan mengulas lebih banyak tentang perkara ini dan fokus saya adalah menjalankan tugas dan amanah serta kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan,” katanya sepertimana dipetik daripada portal BHonline.
Menurut Abdul Rahim, komen Nurul Izzah merupakan bantahan seorang anak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau bebas untuk mengeluarkan apa saja kenyataan.
Katanya, beliau akan meneruskan tugasan yang diberikan dalam membantu proses perdamaian di selatan Thailand.
Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melalui akaun Twitternya menyatakan bantahan terhadap pelantikan Abdul Rahim dan menyifatkannya sebagai "seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki tidak bersalah."
"Saya tegas menentang pelantikan seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah, ketika matanya ditutup dan tangannya digari serta dibiarkan terlantar tanpa rawatan perubatan selama beberapa hari.
"Kemudiannya berbohong kepada seluruh dunia mengenai lokasi dan nasib mangsa. Malu ke atas mereka yang melakukan kekejaman itu," tulis Nurul Izzah.