'Itu kehendak Allah' - Ibu Md Farid reda pemergian anak sulung

Astro Awani
September 21, 2019 12:58 MYT
Norma berkata, anak sulungnya itu seorang yang sangat disenangi, termasuk oleh pengundi Cina di kawasan Parlimen Tanjung Piai itu. - Astro AWANI
Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Dr Md Farid Md Rafik tidak langsung menunjukkan sebarang tanda-tanda sebelum saat kematiannya atau kemungkinan dia menghidap sebarang penyakit.
Demikian diceritakan ibunya, Norma Mohamed, yang ditemui media susulan pemergian anak sulungnya itu awal pagi ini.
Bagaimanapun, katanya, Md Farid sempat meninggalkan pesan kepada pembantu peribadinya agar menyegerakan semua peruntukan untuk pembiayaan tertentu di kawasannya.
"Dia panggil pegawainya. Dia kata, ketua kampung begini, begini, selesaikan. Dia mungkin tak sempat balik. Dia takut hal itu tak selesai. Setiausaha kampung juga datang jumpa dia.
"Dia cakap dengan pegawainya, selesaikan benda ini. Kena habiskan, jangan sampai tak habis. Nanti kalau kita nak mohon peruntukan, peruntukan tak keluar, katanya," kata Norma yang turut mengiringi arwah dalam majlis bersama masyarakat setempat di Pontian Jaya malam tadi.
BACA: Ahli Parlimen Tanjung Piai meninggal dunia
Dia mengakui, sehingga kini, masih terngiang-ngiang perbualan Md Farid, 42 tahun, dan pesanan Allahyarham kepada pegawainya itu.
Bagaimanapun, katanya, dia reda dan mengharapkan pemergian Allahyarham diiringi doa oleh semua, terutama penduduk di kawasan Serkat.
"Kita doakan pemergian dia. Itu kehendak Allah," katanya.
Tambah Norma, anaknya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu seorang yang sangat disenangi masyarakat, termasuk oleh pengundi Cina di kawasan Parlimen itu.
BACA: Bersatu jangan bercakaran sesama sendiri, pesanan terakhir Dr Md Farid
Md Farid dimasukkan ke Hospital Pontian pagi tadi dan dipercayai meninggal dunia kira-kira pukul 5.30 pagi akibat serangan jantung.
Allahyarham, juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.
Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke rumah ibunya di Serkat untuk dikebumikan sebelum Zohor.
#Ahli Parlimen Tanjung Piai #anak #anak sulung #Jabatan Perdana Menteri #Masyarakat #Md Farid Md Rafik #meninggal dunia #Norma Mohamed #Parlimen #pembantu peribadi #peruntukan #reda #serangan jantung #Serkat #Timbalan Menteri
;