Itu hak Sultan Muhammad V untuk meletakkan jawatan - MB Kelantan

Vivi Sumanti
Januari 6, 2019 22:26 MYT
ultan Muhammad V telah meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa serta merta.
Kerajaan Negeri Kelantan menerima dengan terbuka tindakan Sultan Muhamad V, melepaskan jawatan Yang Di-Pertuan Agong berkuat kuasa serta merta.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan tindakan yang dibuat oleh Sultan Muhamad ke V itu sebagai hak baginda.
“Itu terpulang kepada baginda, kita terima lah. Itu hak sebagai Sultan yang dipilih dan baginda telah mengikut peraturan perlembangaan, pertabalannya dahulu juga mengikut perlembagaan dan secara rasmi,” katanya kepada pemberita ketika diminta memberikan reaksi berhubung perkara berkenaan.
Ahmad yang ditemui selepas memberikan kuliah di Masjid Kampung Laut, di sini malam ini menjelaskan, sebagai ketua kerajaan Kelantan beliau akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Protokol Istana untuk tindakan selanjutnya.
“Kami akan ambil langkah sewajarnya untuk persiapan dan sebagainya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Sultan Muhammad V ada menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan sewaktu bersamanya semasa menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra, Jumaat lepas, Ahmad memaklumkan baginda bersikap seperti biasa dan tidak menitahkan apa-apa perkara.
BACA: Sultan Muhammad V letak jawatan
BACA: 'Sila duduk, jangan lari' kenangan rakyat dengan Sultan Muhammad
Ahmad menjelaskan, berdasarkan apa yang pernah dititahkan oleh baginda sebelum ini ialah, baginda tidak berminat untuk menjawat jawatan Yang Di-Pertuan Agong.
“Kalau berpandukan pada asalnya memang ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan tak berapa berminat sangat hendak jadi Yang Di-Pertuan Agong, itu saya ada maklumat... masa itu baginda tak berapa minat dan tak tunjuk minat,” katanya.
Kerajaan Kelantan dan seluruh rakyat Kelantan menjunjung kasih kepada Sultan Muhamad ke V serta merafak sembah penghargaan sepanjang baginda memegang jawatan Yang Di-Pertuan Agong.
#Agong #Ahmad Yakob #Kelantan #kerajaan negeri Kelantan #letak jawatan #menteri besar kelantan #Sultan Muhamad V #Yang di-Pertuan Agong
;