Isytihar harta: SPRM jangka akta baharu dilaksana sebelum akhir tahun

Astro Awani
April 20, 2019 18:19 MYT
Shamsun Baharin berkata, setakat bulan ini, seramai 122 ahli Parlimen kerajaan dan 76 anggota pentadbiran kerajaan telah mengisytiharkan harta. - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka melaksanakan akta baharu sebelum akhir tahun ini yang akan mewajibkan ahli politik serta pegawai kanan kerajaan gred Jusa C ke atas mengisytiharkan harta.
Ketika ini pengisytiharan harta hanya dilakukan secara sukarela oleh ahli Parlimen kerajaan dan anggota pentadbiran.
Ia kemudiannya dipaparkan kepada umum menerusi portal SPRM.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata berdasarkan undang-undang baharu itu nanti, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan sama ada penjara atau denda.
"Mengikut akta baharu itu nanti, kalau mereka tak isytihar, ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang, sama ada penjara atau denda.
"Namun, kita perlu tunggu apa yang bakal diluluskan pada peringkat Parlimen nanti," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (Komawar) yang dihadiri lebih 2,000 pelajar universiti awam dan swasta dari Kelantan, Pahang dan Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Menurutnya, SPRM ketika ini sedang dalam proses penyediaan berhubung perkara berkaitan akta baharu.
"Akhirnya kita bawa ke bahagian penggubalan, dan seterusnya bawa ke Kabinet. Dan kita harap, sebelum akhir tahun ini, perkara ini dapat direalisasikan," tambah Shamsun Baharin.
Katanya, setakat bulan ini, seramai 122 ahli Parlimen kerajaan dan 76 anggota pentadbiran kerajaan termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik telah mengisytiharkan harta.
"Namun, masih ada yang belum berbuat demikian iaitu enam ahli Parlimen kerajaan dan tujuh anggota pentadbiran kerajaan.
"Kita tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan ini hanyalah program sukarela yang mereka (Pakatan Harapan) janjikan untuk mencerminkan ketelusan dan akauntabiliti mereka," katanya.
Konvensyen bertemakan 'Mahasiswa Malaysia Baru Tolak Rasuah' itu bertujuan membentuk nilai pemimpin mahasiswa membenci budaya negatif itu dan sebagai sokongan mahasiswa kepada usaha pencegahan rasuah oleh SPRM di negara ini.
#ahli Parlimen #akta #anggota pentadbiran #isytihar harta #Jusa C #kabinet #kerajaan #mahasiswa #Pakatan Harapan #pegawai kanan kerajaan #pemimpin mahasiswa #Rasuah #Shamsun Baharin Mohd Jamil #SPRM #sukarela #undang-undang
;