Isytihar harta: PM Anwar bincang dengan SPRM, tetapkan parameter jelas dan telus

Astro Awani
Januari 17, 2023 17:15 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 'Membangun Malaysia Madani' di Kementerian Kewangan hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berbincang dengan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menetapkan parameter jelas berhubung aspek pengisytiharan harta agar lebih telus.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang cuba membangkitkan isu berkenaan sebagai isu utama, sedangkan ada individu tidak jujur mengisytiharkan jumlah aset sebenar yang dimiliki.
"Jadi apa yang perlu kita lakukan adalah dengan memastikan bahawa parameter itu adalah jelas. Saya sekarang sedang berbincang dengan pelbagai agensi terutama SPRM bagi memastikan perkara ini dilaksanakan dengan telus.
"Sekarang apabila kita tengok kepada angka dan fail, sangat mengejutkan, kebanyakan orang memberitahu kebenaran.
"Ia membuat ejekan. Anda berpuas hati, rakyat berpuas hati, masyarakat berpuas hati, namun ia tidak menggambarkan kekayaan sebenar," katanya dalam sidang media selepas berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 'Membangun Malaysia Madani' di Kementerian Kewangan, di sini, pada Selasa.
Justeru, beliau mengajak semua pihak kembali kepada proses yang sebenar supaya apa sahaja yang dilakukan adalah telus dan bukan sekadar gimik politik.
"Marilah kita tukar ke proses sebenar. Keutamaannya adalah untuk memastikan supaya apa sahaja keputusan mereka buat adalah lebih bertanggungjawab, telus dan bukannya gimik politik,” ujarnya lagi.
#Anwar Ibrahim #isytihar harta #Perdana Menteri #Kementerian Kewangan
;