ISWC2023: Perkukuh wang simpanan sewaktu ekonomi stabil - Dr Norma
Hilmi Malik
Julai 5, 2023 19:00 MYT
Julai 5, 2023 19:00 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat disaran agar bijak mengurus wang perbelanjaan selain merebut peluang untuk memperkukuhkan simpanan sewaktu ekonomi dalam keadaan yang positif.
Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Norma Mansor berkata, simpanan seseorang individu akan berada dalam kritikal sekiranya negara dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang lembap.
“Perlindungan sosial sepatutnya diperkukuhkan waktu pertumbuhan ekonomi. Apabila ekonomi lembap atau kita berdepan kemelesatan ekonomi kita tiada sumber dan ramai orang pun tidak mempunyai pekerjaan maka susah nak dapat simpanan.
“Negara sedang sembuh daripada COVID-19 dan masalah ekonomi yang lain, pertumbuhan kita makin menaik, maka inilah masanya kita ambil peluang untuk mempertingkatkan simpanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC 2023) ke-10 pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr Norma berkata, kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan bagaimana untuk memperkukuhkan aspek perlindungan sosial.
Ujarnya, kerajaan juga perlu mengambil kesempatan dalam keadaan ekonomi yang sedang memberangsangkan bagi memanfaatkan semua pihak secara menyeluruh.
“Kerajaan perlu melihat bagaimana untuk kita perkukuhkan simpanan kita sebab paling asas di negara-negara berjaya dari segi pertumbuhan ekonomi menunjukkan bahawa kerajaan yang bertanggungjawab dari segi memberi perlindungan yang asas itu memerlukan sumber yang tinggi.
“Jadi apabila pertumbuhan ekonomi berlaku disitulah percukaian kita atau sumber kerajaan juga boleh bertambah… apabila ekonomi berkembang kita juga boleh perkukuh simpanan,” katanya lagi.
Mengambil contoh inisiatif Belanjawanku yang diperkenalkan kerajaan, usaha itu juga mampu menjadi panduan kepada orang ramai dalam memperhalusi soal kemahuan dan keperluan.
Selain itu, inisiatif berkenaan juga mengajak orang ramai untuk melakukan caruman yang seumpama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 10 peratus.
Tegasnya, meskipun berdepan dengan faktor pembayaran gaji yang rendah, Dr Norma menjelaskan perkara itu perlu dilaksanakan bagi mengelak sebarang kemungkinan, khususnya apabila seseorang itu hilang pekerjaan.
Sementara itu, platform ISWC 2023 katanya merupakan ruang yang perlu dimanfaatkan bagi meneliti semula sistem perlindungan sosial berdasarkan perkongsian daripada negara-negara luar.
Beliau yang juga merupakan salah seorang panel akan berkongsi pentas bagi membahaskan isu-isu yang berbangkit termasuk cabaran yang yang didepani pada persidangan ISWC 2023 yang dijadual pada Khamis.