ISWC 2024: Tingkatkan kesedaran persaraan rakyat di sebalik tekanan kewangan
Nabilah Khaleeda
Jun 1, 2024 17:49 MYT
Jun 1, 2024 17:49 MYT
KUALA LUMPUR: Realiti semasa menunjukkan bahawa sebilangan rakyat Malaysia sedang tertekan dengan masalah kewangan yang menyukarkan mereka membuat perancangan masa depan.
Keutamaan untuk kelangsungan hidup kini menjadi penghalang utama dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai jaminan pendapatan hari tua.
Namun, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetap komited untuk mewujudkan rakyat yang berdaya tahan melalui beberapa dasar inovatif.
Ketua Jabatan Polisi dan Strategi KWSP, Balqais Yusoff berkata untuk membantu rakyat membina simpanan persaraan yang kukuh, KWSP telah melaksanakan penstrukturan semula akaun, termasuk penjenamaan semula akaun sedia ada serta pengenalan Akaun Fleksibel.
“Ia bertujuan mempercepatkan pembinaan simpanan persaraan sejajar dengan peningkatan purata jangka hayat rakyat Malaysia kepada 75 tahun pada 2023.
“Sistem pencen dan persaraan di Malaysia kini meliputi 60 peratus tenaga buruh, berbanding purata negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang meliputi 95 peratus.
“Hanya 20 peratus ahli KWSP bawah umur 55 tahun mencapai tahap Simpanan Asas, dan lebih daripada 50 peratus ahli yang hampir bersara mempunyai simpanan di bawah RM50 ribu.
“Ini menunjukkan jurang yang ketara dalam perlindungan sosial, terutamanya bagi pekerja tidak formal yang tidak diwajibkan mencarum dalam mana-mana sistem.
“Rakyat Malaysia sering memulakan perancangan persaraan terlalu lewat, iaitu hanya 5-10 tahun sebelum umur persaraan,” jelasnya.
Justeru, tambah beliau, perancangan persaraan perlu dimulakan sebaik sahaja seseorang mula bekerja untuk mendapat kesan penggandaan dividen yang optimum.
Sementara itu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mencadangkan kerangka pencen merangkumi pelbagai lapisan masyarakat untuk memastikan setiap golongan di Malaysia menerima perlindungan sosial yang mencukupi.
Ini termasuk pencen asas yang dibiayai hasil cukai, pencen nasional bercarum, skim caruman wajib berasaskan pekerjaan, dan skim pencen usaha persendirian.
Oleh itu, Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024, sebuah platform diwujudkan untuk membincangkan isu dan dasar untuk menangani fenomena penuaan penduduk dan meningkatkan kesejahteraan warga emas.
“Persidangan tahunan ini akan berlangsung pada 4 & 5 Jun dengan tema “Ageing and Longevity: Towards a Meaningful Retirement”.
“Lebih 700 delegasi dan 1000 peserta dalam talian dijangka hadir, termasuk pakar ekonomi, demografi, dan kesihatan usia tua dari seluruh dunia.
“Dengan pelbagai usaha dan inisiatif ini, KWSP berharap dapat mengubah landskap persaraan di Malaysia dan memastikan setiap warga emas menikmati persaraan yang selesa dan bermakna,” katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Jumaat.