ISWC 2023 himpun lebih 2,000 delegasi, perkasa sistem perlindungan sosial negara
Hasimi Muhamad
Julai 6, 2023 20:56 MYT
Julai 6, 2023 20:56 MYT
KUALA LUMPUR: Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023) melabuhkan tirai hari ini dengan menghimpunkan lebih 2,000 delegasi secara fizikal dan maya, terdiri daripada penggubal dasar, kementerian, agensi dan pihak berkepentingan negara.
Acara berkenaan yang turut disertai barisan penceramah tempatan dan antarabangsa, serta pakar dalam bidang perlindungan sosial berjaya mengumpulkan pelbagai idea dan cadangan dalam usaha memperkasakan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurhisham Hussein berkata, persidangan berkenaan dilihat mampu mencari penyelesaian dan menambah baik sistem perlindungan sosial di negara ini.
"Jadi saya rasa, persidangan ini memang berjaya kerana yang hadir terdiri daripada badan kerajaan dan agensi daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rakyat.
"Saya rasa ini boleh memberikan lebih dialog yang produktif untuk kita membuat reformasi kepada sistem perlindungan sosial di Malaysia. insya-Allah, KWSP akan terus menganjurkan persidangan ini pada tahun-tahun hadapan," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Jelas Nurhisham lagi, KWSP komited untuk memastikan ahlinya mendapat perlindungan sosial yang lebih terjamin, selain memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar menerapkan sistem sokongan yang komprehensif.
Beliau menambah, segala pandangan dan cadangan yang diutarakan dalam ISWC 2023 akan menjadi input kepada Majlis Perlindungan Sosial Malaysia, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ISWC 2023 yang bermula pada 5 Julai, dianjurkan bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
Bertemakan "Changing the Game: Building the World We Want", persidangan kali ini memfokuskan kepada menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dan menyokong hak asasi untuk perlindungan sosial.
Antara penceramah terlibat termasuk Pengarah Eksekutif di Planetary Health, Universiti Sunway, Tan Sri Jemilah Mahmood; Penasihat Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah, Profesor Jomo Kwame Sundaram, serta Profesor Globalisasi dan Pembangunan di University of Oxford, Profesor Ian Goldin.