ISWAMI sambut positif sikap PM Malaysia mengukuhkan media Malaysia-Indonesia
Bernama
Disember 1, 2021 18:15 MYT
Disember 1, 2021 18:15 MYT
JAKARTA: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia menyambut baik saranan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar hubungan erat wartawan Malaysia dan Indonesia terus diperkuat.
"Kami sangat mendukung pernyataan PM Ismail Sabri Yaakob itu untuk memperkuat hubungan kedua negara serumpun. Pernyataan PM itu sangat positif," kata Ketua ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sejak ditubuhkan pada 2007, beliau berkata, ISWAMI berusaha keras untuk menyalurkan informasi dari kedua-dua negara melalui pemberitaan agar setiap isu yang muncul dapat difahami dengan lebih baik.
Kedua-dua negara memiliki latar sejarah dan budaya yang sama selain hubungan kedua-dua negara sangat bagus, namun ada kalanya berbagai riak terjadi di peringkat masyarakat, kata Asro.
Pada Selasa (30 November), perdana menteri berkata selain hubungan diplomatik yang berjalan sangat baik, wartawan dapat memainkan peranan bagi meningkatkan kesefahaman antara negara serantau.
"Lawatan saya ke Indonesia baru-baru ini membantu mengeratkan hubungan dengan ISWAMI.
"Saya percaya ISWAMI dapat memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung sesama wartawan kedua-dua negara," kata Ismail Sabri di Malam Wartawan Malaysia, di Kuala Lumpur.
Ketika berkunjung ke Jakarta, sehari sebelum bertemu Presiden Joko Widodo, Ismail Sabri turut mengadakan pertemuan dengan 15 Pemimpin Redaksi media utama Indonesia.
Beliau berbincang santai pada petang 9 November di Ballroom Ritz Carlton Hotel menyatakan wartawan adalah mata dan telinga yang dapat membantu pemerintah untuk memastikan kelangsungan pembangunan untuk rakyat.
"Media boleh membuat teguran yang bernas dan berasas bagi membantu pemerintah menyampaikan yang terbaik kepada rakyat," jelasnya.
Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional atau HAWANA, yang pertama kali telah dijayakan pada tahun 2018.
"Kerajaan akan terus memberi sokongan kepada program yang sesuai untuk dilaksanakan," katanya.
HAWANA berjaya diadakan pada 2018 di Kuala Lumpur di bawah penyelenggaraan bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh.
Sementara itu, kenyataan Ismail Sabri akan perlunya diperkuatkan lagi hubungan erat media Malaysia-Indonesia mencerminkan penekanannya bagi saluran komunikasi dua hala yang lancar antara rakyat kedua-dua negara.
Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata ia juga isyarat jelas daripada Ismail Sabri yang mahukan maklumat yang tepat disalurkan kepada rakyat kedua-dua negara.
"Ia juga menunjukkan bagaimana beliau sangat memahami isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat ataupun betapa akrabnya rakyat di dua negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
"Umpamanya, jika ada masalah layanan pekerja-pekerja Indonesia di Malaysia, perlu diberitakan dengan cara yang betul oleh media di Indonesia. Jika ada tangkapan nelayan Malaysia di Indonesia oleh pihak berkuasa Indonesia, perlu diberitakan dengan betul oleh media di Malaysia," jelas Azmi.
Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain yang mengikuti pertemuan Ismail Sabri dengan 15 Pemimpin Redaksi media di Jakarta itu berkata perdana menteri mahu melihat hubungan media dan wartawan dengan negara jiran lain dapat diperkukuh dengan menjadikan ISWAMI sebagai model.
Beliau berkata dalam pertemuan itu perdana menteri juga berkongsi pengalaman bagaimana Malaysia mengutamakan vaksinasi bukan sahaja kepada rakyatnya, malah kepada sesiapa sahaja termasuk rakyat Indonesia yang berada di Malaysia.
Mokhtar dipilih sebagai Presiden ISWAMI Malaysia sewaktu Mesyuarat Agung ISWAMI Malaysia yang diadakan pada 19 November lepas.
-- BERNAMA