ISWAMI laksana gerak kerja rapatkan hubungan media negara ASEAN

Bernama
Disember 9, 2021 18:55 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu hubungan pengamal media di negara ini dan ASEAN dipertingkat menerusi rangkaian kerjasama membabitkan wartawan peringkat serantau bagi memudahkan usaha memupuk persefahaman antara negara. Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) akan melaksanakan gerak kerja bagi merapatkan hubungan media dalam kalangan negara anggota rantau ASEAN, kata Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Mokhtar Hussain.
Beliau berkata, langkah itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Malam Wartawan Malaysia baru-baru ini yang mahukan hubungan pengamal media di negara ini dan ASEAN dipertingkat menerusi rangkaian kerjasama membabitkan wartawan peringkat serantau bagi memudahkan usaha memupuk persefahaman antara negara.
"Pendirian perdana menteri yang memberi penekanan kepada peranan media dalam merapatkan persefahaman antara negara dapat dilihat ketika lawatan beliau ke Indonesia bulan lepas apabila pertemuan dengan pemimpin media Indonesia menjadi atur cara pertama.
"Pada Malam Wartawan Malaysia baru-baru ini, perdana menteri mengulangi hasrat mahukan media memainkan peranan. Ini menunjukkan kesungguhan beliau," katanya ketika ditemu bual secara dalam talian dalam program Jendela Fikir bertajuk ISWAMI: Menerajui Rangkaian Media Serantau terbitan Bernama Radio hari ini.
Mokhtar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, ISWAMI turut berperanan berkongsi maklumat dan pengalaman yang dilalui Malaysia dan Indonesia mengenai pandemik COVID-19 dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat di kedua-dua negara.
Mengenai sambutan Hari Wartawan Nasional atau HAWANA yang diiktiraf kerajaan pada 29 Mei setiap tahun, beliau berkata, satu mesyuarat menghimpunkan editor-editor di Malaysia diadakan baru-baru ini bagi membincangkan sambutan HAWANA pada 29 Mei 2022.
"Media Malaysia ingin mencontohi media Indonesia yang menyambut Hari Pers Nasional pada 9 Feb setiap tahun dengan hebat dengan acara berlangsung di setiap provinsi.
"Maka pada tahun depan, sambutan HAWANA dicadangkan dibuat di negeri, bagaimanapun negeri yang akan menjadi tuan rumah masih belum dipilih dan semuanya masih dalam perancangan," katanya.
Sementara itu, Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan yang turut ditemu bual Bernama Radio secara dalam talian dalam program hari ini berkata, kebudayaan harus menjadi satu daripada platform penting dalam menyatukan dan meningkatkan persefahaman masyarakat Malaysia dan Indonesia.
"Datuk Seri Siti Nurhaliza sangat popular di Indonesia. Malah saya yang dilahirkan di Sumatera Utara di pesisir pantai Selat Melaka, cuma dua jam menaiki feri untuk ke Pulau Pinang juga biasa mendengar lagu-lagu penyanyi dari Malaysia seperti (Allahyarham Datuk) Ahmad Jais, (Allahyarhamah Datin) Rafeah Buang dan Datuk Sharifah Aini yang disiarkan radio RTM," katanya.
Menurutnya, aktiviti golongan seniman dan aspek kebudayaan mampu mendekatkan dan menyatukan emosi masyarakat di kedua-dua negara. - BERNAMA
#Iswami #wartawan #Malaysia #Indonesia
;