ISWAMI, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta teroka peluang kerjasama
Bernama
Ogos 17, 2022 16:26 MYT
Ogos 17, 2022 16:26 MYT
JAKARTA: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) akan meneroka peluang kerjasama dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam memperkukuh peranan dan berkhidmat untuk merealisasikan aspirasi dua negara bersaudara dan rakyatnya.
Perkara itu merupakan antara isu yang dibincangkan antara Penasihat ISWAMI, Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Kuasa Usaha Sementara, Adlan Mohd Shaffieq dalam satu pertemuan di sini.
Kerjasama itu meliputi pameran foto untuk mempamerkan keakraban Malaysia-Indonesia sempena sambutan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dan seminar berkaitan hala tuju dua negara di tengah-tengah keadaan dan cabaran yang dinamik di rantau Asia.
Zakaria berkata, pameran foto mampu memperlihatkan keakraban dan interaksi di pelbagai peringkat kepimpinan, kepelbagaian budaya, peradaban dan kemajuan yang telah dicapai serta meningkatkan interaksi terutamanya generasi muda.
Menyentuh mengenai seminar, Adlan berkata, kesedaran masyarakat terhadap perubahan geopolitik serantau dan global serta kepesatan perkembangan media sosial perlu diberi perhatian.
"Golongan pemikir harus dilibatkan untuk menjawab persoalan bagaimana masyarakat boleh bertindak balas terhadap pelbagai cabaran demi mewujudkan kemakmuran bersama," katanya.
Mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai peranan media berkaitan isu semasa termasuk dalam menangkis berita-berita palsu dan negatif yang boleh menjejaskan hubungan baik sedia ada antara kedua-dua negara.
Turut hadir Setiausaha Pertama kedutaan Ammil Afiq Jasimi dan rombongan ISWAMI termasuk Timbalan Presiden, Datuk Zulkifli Hamzah; Setiausaha, Mohd Shukri Ishak; Setiausaha Kerja, Mohd Razman Abdullah; Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI, Hakimi Zuffrida Mohd Zain dan sekretariat.
ISWAMI dianggotai pelbagai agensi, pertubuhan serta organisasi media Malaysia manakala ISWAMI Indonesia dipimpin oleh Asro Kamal Rokan.
Persatuan itu ditubuhkan bertujuan mengharmonikan hubungan dua hala dalam menangani isu-isu berkepentingan bersama dan menjadi pengantara kepada media di kedua-dua negara. - BERNAMA