'Isunya tapak pembuangan sampah haram, bukan tanah rizab Melayu' - Azmin
Wan Syamsul Amly
Oktober 7, 2016 22:23 MYT
Oktober 7, 2016 22:23 MYT
Kerajaan negeri Selangor tidak pernah berkompromi dengan mana-mana aktiviti atau kewujudan tapak pembuangan haram yang mencemarkan alam sekitar serta kesihatan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, persoalan utama yang perlu diutarakan adalah menghentikan aktiviti itu tidak kira berlaku di tanah rizab Melayu atau mana-mana pihak.
Jelasnya, Kerajaan Selangor juga telah membuktikan tanah rizab Melayu di negeri itu sendiri lebih dari apa yang ditetapkan.
"Sejak saya mengambil alih tampuk kepimpinan, saya pastikan tanah rizab Melayu ini sekiranya ada tujuan untuk pembangunan mesti digantikan bukan dengan keluasan yang sama sahaja tetapi dengan nilai sama. Malahan kita sudah ada lebihan gantian tanah rizab Melayu.
"Persoalannya, sampah haram yang dibuang bukan dikira atas tanah rizab Melayu atau tanah mana-mana pihak, aktiviti ini mesti dihentikan segera. Tindakan akan diambil sekiranya tanah itu tanah milikan, kita akan rampas, semua ini sedang berjalan," katanya selepas menunaikan solat Jumaat dan jamuan rakyat di Masjid Khairiah Taman Seri Gombak di sini, hari ini.
Sebelum ini, laporan eksklusif Astro AWANI membangkitkan isu berhubung bau asap yang datangnya dari seberang Lebuhraya Maju Expressway Sdn Bhd (MEX) di Puncak Bukit Jalil.
Tanah seluas satu hektar yang boleh dilihat jelas dari lebuh raya menghala Putrajaya itu telah dijadikan sebagai tapak pelupusan hampir 10 tahun lalu.
Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yassin berkata, penerokaan tanah rizab Melayu sama ada secara sah atau sebaliknya, tidak sepatutnya berlaku.
Tegasnya, tanah rizab Melayu tidak boleh dibangunkan oleh bukan Melayu selain mahu penubuhan sebuah jawatan kuasa khas menasihat serta memantau tanah rizab Melayu.