Isu Zakir Naik: Selangor utamakan nasihat polis
Bernama
Ogos 22, 2019 04:46 MYT
Ogos 22, 2019 04:46 MYT
Kerajaan Selangor mengambil pendekatan untuk mendapatkan nasihat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu yang berkaitan dengan penceramah bebas Dr Zakir Naik.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata ini kerana dalam perkara melibatkan faktor keselamatan, pihaknya lebih mengutamakan nasihat daripada PDRM sebelum membuat sebarang keputusan.
"... jadi, perkara melibatkan larangan (untuk Zakir berceramah), semuanya itu (dibuat) atas nasihat polis sebab isu ini membabitkan isu keselamatan dan beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini.
"Kerajaan negeri sentiasa menasihatkan semua jabatan untuk mendapat yang terbaik dan memastikan ketenteraman serta kestabilan di negeri ini terjamin," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena, di sini pada Khamis.
Penceramah bebas dari India itu dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu, Kelantan sebelum ini sehingga mencetuskan desakan banyak pihak supaya dia dihantar pulang ke negara asalnya.
Selasa lepas, PDRM mengeluarkan arahan tidak membenarkan semua program berkaitan Zakir dianjurkan di seluruh negara atas faktor keselamatan kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari
#ceramah
#Cina
#keselamatan
#kontroversi
#masyarakat Hindu
#masyarakat majmuk
#Menteri Besar Selangor
#Polis Diraja Malaysia
#Zakir Naik