Isu warden: Jangan bebani guru dengan elaun serendah RM240, wujudkan penjawatan khas

Firdaus Azil
Disember 13, 2021 15:45 MYT
Adalah tidak munasabah untuk untuk guru-guru dibebani dengan tugasan warden, memandangkan elaun bulanan hanyalah RM240 sebulan, sedangkan mereka terpaksa bekerja 24 jam, tegas Maszlee Malik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia diminta untuk mempertimbangkan langkah mewujudkan penjawatan khas bagi tugas warden di asrama supaya mereka dapat memberi fokus kepada tugasan hakiki.
Menurut bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, sepanjang pengalamannya berkhidmat di kementerian itu, beliau menerima banyak rintihan daripada guru-guru yang dibebani dengan pelbagai kerja selain tugasan hakiki, termasuk menjadi warden di asrama.
Tegas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu lagi, adalah tidak munasabah untuk membebani guru-guru dengan tugasan warden, memandangkan elaun bulanan yang diterima hanyalah RM240 sebulan sedangkan mereka terpaksa bertugas sehingga 24 jam sehari.
“Saya juga ingin menyahut apa yang dibawa oleh Batu Gajah tadi, dan juga Kuala Krai, iaitu mengenai penjawatan warden. Keluhan para guru secara langsung kepada saya, melalui media sosial, dan juga apa yang disebut NUTP (Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan) baru baru ini.
“Saya sokong penuh, mewakili para guru, membawa suara para guru, menyokong cadangan NUTP bahawa jawatan warden perlu diwujudkan khusus dan dilantik kepada jawatan khas bukan diambil dari guru yang sibuk mengajar di waktu sidang yang diberi elaun serendah RM240 semata-mata sedangkan kerja 24 jam,” katanya lagi.
Sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Bajet) 2022 peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Pendidikan berkata, mengulangi cadangan NUTP agar diwujudkan jawatan khas warden untuk mereka dedikasikan, menjaga asrama dan kebajikan murid.
Susulan kejadian buli terbaharu yang berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak baru-baru ini, kesatuan itu berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mempertimbangkan cadangan tersebut secara serius.
Dalam pada itu, Maszlee mengharapkan agar KPM dapat memberi pertimbangan memberi autonomi kepada sekolah dan guru-guru dalam pengurusan tertentu.
“Tolong bantu para guru yang semakin hari semakin dibebani dengan kerja perekodan, kerja pengkeranian pelbagai, malah baru-baru ini soalan hampir sama dari Batu Gajah, apakah usaha untuk membantu guru yang burn out (lesu upaya).
“Dijawab mereka kena hadiri kursus itu seminar ini dan sebagainya. Kursus dan seminar bukan jawapannya. Jawapannya beri kepercayaan dan pemberdayaan kepada guru, jangan beban mereka dengan pelaporan peperiksaan pelbagai, ketika mereka telah setahun setengah jalankan PDPR kembali ke sekolah,” tegasnya lagi.
#Dewan Rakyat #bajet 2022 #Maszlee Malik #Kementerian Pendidikan
;