Isu vape: 'Kalau hendak cukai cakaplah terang-terang' - Rani Kulup
Wan Syamsul Amly
November 8, 2015 19:49 MYT
November 8, 2015 19:49 MYT
Kerajaan diminta berterus terang seandainya mahu mengenakan cukai dalam isu penjualan vape selain tidak membuat serbuan yang bertujuan menakut-nakutkan peniaga serta golongan yang menghisapnya.
Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, tindakan berdolak-dalik hanya akan mengelirukan rakyat sekali gus menjadikan mereka mempunyai persepsi negatif terhadap kerajaan.
"Kalau hendak cukai, cakap sahajalah. Mengapa buat serbuan dan rampasan di sana sini tanpa alasan kukuh.
"Nikotin bukan alasan kukuh. Jangan bandingkan vape dengan rokok, ia dua alat yang jauh bezanya. Kalau hendak rampas atau buat serbuan, buat juga pada rokok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Ahad, Abdul Rani menyertai Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dalam memberi amaran kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bakal hilang satu juta undi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 jika peniaga vape terus berdepan tindakan pihak berkuasa.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di laman Twitternya mahu ketegasan kerajaan dalam isu rokok sama seperti vape.
Kata Khairy, kerajaan perlu mengharamkan juga rokok jika mengambil keputusan untuk mengharamkan vape di negara ini.
Dalam pada itu jelas Abdul Rani, kerajaan akan berhadapan masalah pada PRU akan datang seandainya tidak segera menyelesaikan isu vape.
"Bayangkan jika hampir satu juta anak muda dalam komuniti vape ini merajuk dan menyalahkan kerajaan, ia pasti mengundang masalah kepada kerajaan untuk mendapatkan sokongan pada PRU kelak.
"Jika hati mereka sudah terguris, ia bukan senang hendak diubati. Hati anak-anak muda terlalu sensitif dan perlu dijaga. Mereka juga tidak suka dikelirukan dengan isu yang remeh begini," ujarnya.
Pada Ahad Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, jawatankuasa khas e-rokok yang baharu ditubuhkan akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada Isnin.
Katanya, agenda utama jawatankuasa khas itu adalah mengkaji kandungan cecair perisa vape mengikut Akta Racun 1952 bagi menentukan sama ada ia mempunyai bahan yang boleh menjejaskan kesihatan atau tidak.
Menurut Noor Hisham, Kementerian Kesihatan bertanggungjawab melindungi kesihatan orang ramai sebelum meluluskan produk vape yang kini diragui pelbagai pihak, khususnya golongan ibu bapa.
Sebelum ini, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris mahu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S Subramaniam menanggung semua kerugian yang dialami oleh pengusaha dan perniaga vape yang terlibat dengan operasi yang dilakukan baru-baru ini.
Tegasnya, pihaknya sangat terkilan dengan tindakan dan perlaksanaan terburu-buru Kementerian Kesihatan yang menyerbu premis vape.