Isu vaksin: Pejabat Muhyiddin jawab dakwaan Ustaz Abu Syafiq
Fareez Azman
Januari 14, 2022 16:52 MYT
Januari 14, 2022 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Pejabat mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menempelak dakwaan pendakwah bebas Ustaz Abu Syafiq terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu dan delegasinya dalam mengerjakan ibadah umrah Mac lalu.
Menurut pegawai khasnya, Mohd Naaim Mahmod menerusi satu kenyataan di laman rasmi Facebook Muhyiddin pada Jumaat berkata dakwaan Muhyiddin dan delegasi tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 atau Meningococcal Meningitis (MM) itu tidak benar.
Sebaliknya, jelas Mohd Naaim, Muhyiddin telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi pada Mac lalu.
"Dakwaan Ustaz Abu Syafiq bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin COVID-19 atau vaksin Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac 2021 adalah tidak benar.
"Tan Sri Muhyiddin dan semua delegasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin untuk COVID-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi dan menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air, manakala Vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan," jelasnya.
Mengulas mengenai vaksin Meningococcal Meningitis (MM) tambah Mohd Naaim lagi, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi ketika itu tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin lain terhadap pengembara ke Arab Saudi.
"Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin COVID-19 atau vaksin lain untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi," jelasnya lagi.
Ujar Mohd Naaim, lawatan kerja rasmi mantan Perdana Menteri kelapan itu ke Arab Saudi diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi.
Malah lawatan terbabit ujarnya lagi, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk melakukan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) sebelum, semasa dan selepas lawatan.
"Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi adalah negatif COVID-19.
"Pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi di dalam suatu gelembung perjalanan (travel bubble) yang telah ditetapkan," jelasnya lagi.
Terdahulu, ustaz Abu Syafiq dalam laman sosial Instagramnya mendakwa Muhyiddin dan delegasinya tidak mendapatkan vaksin MM ketika mengerjakan umrah di Arab Saudi pada Mac tahun lalu.
#Arab Saudi
#COVID-19
#dos pertama
#Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#Parlimen
#pendakwah
#Perdana Menteri
#SOP
#suntikan
#umrah
#Meningococcal Meningitis