Isu uniform ketat: Jangan jadikan jururawat bahan kritikan - Nga
Abd Razak Mohd Ali
Jun 17, 2023 13:41 MYT
Jun 17, 2023 13:41 MYT
TELUK INTAN: Ahli Parlimen pembangkang, khususnya dari Pas tidak sepatutnya menjadikan jururawat sebagai bahan kritikan, seperti yang dilakukan dalam perbahasan Kertas Putih Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Sehubungan itu, mereka wajar memohon maaf daripada golongan jururawat yang telah banyak berjasa dan berkorban untuk rakyat.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan akan berdiri teguh dan memastikan warga jururawat terus diberi sokongan yang terbaik.
“Kita berasa amat kecewa di mana wakil pembangkang bukan sahaja gagal memberikan hujah-hujah yang bernas dan konstruktif untuk membantu kerajaan memperbaiki sistem kesihatan negara, malahan baju uniform jururawat dijadikan bahan kritikan.
“Kita seharusnya fokus kepada prestasi bagaimana kita memperbaiki kesihatan awam kita, memberikan rawatan yang terbaik, bukannya memperlekehkan warga jururawat kita,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Kemampanan Komuniti Bandar Dekat Dihati - Fiesta Teluk Intan di Dataran Menara Condong, di sini, hari ini.
Terdahulu, ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menyifatkan, kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan tidak mematuhi syariah.
Wan Razali turut meminta kerajaan khususnya KKM mengambil contoh hospital yang memberi pilihan kepada kakitangan wanita untuk mengenakan pakaian yang lebih sesuai.
Dalam reaksinya, Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (Malayan Nurses Union) MNU, Nor Hayati Abd Rashid berkata, saiz uniform setiap jururawat di hospital dan klinik kerajaan mengikut spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bukan setakat itu sahaja, katanya, ia turut melalui konsultasi yang ketat sebelum dikeluarkan.
Namun ujarnya, ia terletak kepada individu itu sendiri untuk mengelakkan diri daripada memakai uniform yang terlalu ketat.