Isu UBER dan Grabcar, kerajaan buat keputusan dalam masa terdekat

T K Letchumy Tamboo
Mei 17, 2016 12:42 MYT
NANCY: Polisi baru akan mewujudkan situasi menang-menang dan memastikan kesamarataan di antara teksi biasa dan juga pemandu yang menggunakan aplikasi tempahan atas talian. - Gambar fail
Kerajaan akan membuat keputusan pada masa terdekat berhubung pertikaian di antara perkhidmatan teksi dan operasi UBER serta Grabcar untuk mencapai situasi menang-menang buat kedua-dua belah pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata bagi mencapai langkah penyelesaian jangka masa panjang, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menjalankan satu makmal transformasi teksi bersama agensi-agensi kerajaan dan pihak berkepentingan.
Katanya hasil daripada makmal tersebut, SPAD telah memuktamadkan beberapa cadangan inisiatif penambahbaikan industri teksi secara menyeluruh dan kesemua cadangan inisiatif ini sedang diperhalusi.
"Polisi baru bagi mengawal selia dan memantau sistem tempahan teksi atas talian melalui aplikasi pintar dan mudah alih juga sedang dirangka.
"Beberapa syarat dan piawaian akan diperkenalkan bagi memastikan semua penyedia aplikasi ini menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pengguna dan dalam masa yang sama memberi manfaat kepada pemandu.
"Polisi baru ini akan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ dan memastikan kesamarataan di antara teksi biasa dan juga pemandu yang menggunakan aplikasi tempahan atas talian," kata Nancy dalam satu jawapan bertulis di Parlimen.
Nancy berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun yang ingin tahu tindakan dan cadangan kerajaan untuk menyelesaikan pertikaian antara pihak pemandu teksi dan pihak UBER dan Grabcar.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau faham dan prihatin terhadap masalah dan rungutan dalam kalangan pemandu teksi disebabkan oleh penggunaan perkhidmatan pemandu kereta UBER dan GrabCar di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.
Najib berkata terdapat pelbagai faktor yang Kerajaan perlu pertimbangkan dan mengimbangi dalam hal ini seperti elemen inovasi, persaingan dan sebagainya.
Pada bulan Mac, sekumpulan pemandu teksi di Bukit Bintang mengadakan mogok bagi membantah perkhidmatan GrabCar dan Uber.
#GrabCar #Nancy Shukry #teksi #Uber
;