Isu Twitter Faekah, MB Selangor nafi terlibat
Astro Awani
Februari 2, 2014 08:11 MYT
Februari 2, 2014 08:11 MYT
Berikutan tulisan di Twitter milik bekas setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkenaan isu pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penglibatannya dalam kenyataan tersebut.
Khalid memberitahu Bernama bahawa kenyataan Faekah di Twitter itu tidak mewakili beliau secara rasmi kerana ia bukannya kenyataan dari Pejabat Menteri Besar.
"(Kenyataan Faekah dalam Twitter) bukan mewakili saya, Yang mewakili saya ialah kenyataan akhbar rasmi (daripada Pejabat Menteri Besar).”katanya kepada Bernama.
Faekah sebelum ini membidas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan isu kerusi DUN Kajang yang dikosongkan oleh Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Jan lepas.
Faekah yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) turut menulis di Twitter meminta ahli politik dari luar Selangor agar belajar terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan dan kenyataan.