Isu tuntutan waris Sultan Sulu harus dibahaskan di Parlimen - Anifah Aman
Syafik Shukri Jalil
Julai 21, 2022 16:13 MYT
Julai 21, 2022 16:13 MYT
KUALA LUMPUR: Parlimen harus membenarkan isu berhubung tuntutan waris Sultan Sulu dibahaskan kerana ia melibatkan kedaulatan negara.
Menurut bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis itu perlu dibenarkan.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Anifah turut menyanggah kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang berkata adalah tidak wajar mendedahkan strategi negara dalam menangani isu ini.
Ini kerana ujarnya, usul tetap perlu dibahaskan bagi membolehkan rakyat Malaysia khususnya rakyat Sabah tahu mengenai status negara mengenai isu tersebut.
‘’Memang adalah tidak bijak mendedahkan strategi Malaysia tentang cara menangani isu ini.
‘’Bagaimanapun berapa lama kita harus berdiam diri mengenai perkara ini? Rakyat Malaysia khususnya di Sabah ingin tahu sama ada kedaulatan kita dicabul atau sebaliknya dan apa usaha kerajaan dalam memastikan kedaulatan negara terus dipertahankan.
‘’Kami juga tidak meminta kerajaan mendedahkan perkara yang sulit semasa perbahasan kerana saya pasti semua ahli parlimen tahu bahawa beberapa perkara adalah sulit dan hanya didedahkan kepada ahli kabinet kanan,’’ katanya.
Selain itu, Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah itu berkata adalah menjadi hak setiap ahli parlimen untuk membahaskan isu ini kerana mereka mewakili suara rakyat.
‘’Ahli parlimen khususnya dari Sabah ingin membahaskan isu ini kerana ia adalah sesuatu yang membimbangkan rakyat negeri itu dan adalah menjadi hak mereka membangkitkannya di parlimen.
‘’Saya difahamkan usul ini telah dikemukakan semula kepada Pejabat Speaker dan berharap Speaker akan membenarkan isu ini dibahaskan. Apa gunanya mengamalkan sistem demokrasi jika persoalan asas berkaitan kedaulatan tidak boleh dibahaskan,’’ ujarnya lagi.
Tambahnya, rampasan anak syarikat Petronas di Azerbaijan oleh waris Sultan Sulu adalah soal kepentingan negara manakala tuntutan mereka ke atas Sabah adalah melibatkan soal keselamatan rakyat Sabah.
‘’Rampasan dibuat berdasarkan tuntutan yang tidak diiktiraf dan fakta bahawa aset yang dirampas adalah ibarat gangguan asing yang sama sekali tidak menghormati pendirian kita untuk tidak mengiktiraf tuntutan ke atas Sabah.
‘’Apa lagi yang boleh dirampas oleh mereka dengan bantuan negara asing? Bolehkah mereka merampas tanah di Sabah dan sekiranya ia berlaku, apa akan terjadi kepada rakyat di Sabah?,’’ tambahnya lagi.