Isu tuntutan cukai eksport minyak dan gas selesai beberapa bulan lagi - Abang Johari
Bernama
Oktober 6, 2019 21:29 MYT
Oktober 6, 2019 21:29 MYT
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata tuntutan Sarawak berhubung cukai eksport sebanyak lima peratus ke atas minyak dan gas yang dikeluarkan dari perairan negeri ini daripada Petronas akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Beliau berkata, setakat ini hanya Petronas yang belum lagi membayar cukai tersebut manakala syarikat minyak Shell dan Murphy Oil serta sebuah syarikat subkontraktor lain sudah menjelaskan cukai itu kepada Sarawak.
Menurutnya, rundingan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan mengenai tuntutan itu sedang berlangsung.
"Jadi kita lihat dalam masa dua bulan akan datang kerana ada rundingan antara kita dengan pihak Kerajaan Pusat. Kerajaan Sarawak amat bertegas dengan hak kita dan mereka (juga) perlu menghormati hak kita, walau macam mana sekali pun keadaannya.
"Dalam masa beberapa bulan akan datang kita akan selesaikan mengenai hak minyak dan gas, apa yang menjadi hak Sarawak adalah hak kita, hormatilah hak yang ada pada anak-anak Sarawak supaya Sarawak dapat membangun," katanya semasa menjawab pertanyaan salah seorang peserta sesi Townhall "Berambeh Ngan CM Abg Jo" di Dewan Kompleks Islam Sibu pada Ahad.
Abang Johari berkata, tuntutan cukai ke atas minyak dan gas tersebut adalah mengikut Perlembagaan Malaysia dan Sarawak mempunyai hak untuk melaksanakannya.
"Dari sudut undang-undang Perlembagaan Malaysia dan IGC Report yang menjadi asas Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963), kita memang ada hak untuk mendapat cukai eksport minyak dan gas," jelasnya.
Ketua Menteri itu berkata tuntutan cukai tersebut adalah bagi menambah pendapatan Sarawak yang seterusnya diberi balik kepada rakyat melalui pembiayaan projek-projek rakyat dan pembangunan di negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata Sarawak sedang meneruskan pembinaan projek tukun tiruan di sepanjang perairan Sarawak dari Tanjung Datu ke Lawas sejauh 1,000 kilometer, yang terpanjang di dunia dengan perbelanjaan sebanyak RM70 juta.
Pembinaan tukun tiruan yang menjadi rumah ikan, akan meningkatkan pendapatan nelayan di negeri ini selain mengelakkan pencerobohan nelayan-nelayan asing, katanya.
Beliau berkata, pendapatan nelayan di kawasan Belawai (dalam bahagian Mukah) telah mencatatkan peningkatan tiga kali ganda dalam tempoh enam bulan sejak tukun tiruan ditempatkan di kawasan tersebut.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg
#cukai eksport
#kerajaan negeri
#minyak dan gas
#murphy oil
#Petronas
#shell
#tuntutan sarawak