Isu tular Taman Kucing Klang, MBDK nafi abai, aniaya kucing

Azyyati Ahmad
September 3, 2024 08:30 MYT
MBDK menafikan sebarang penindasan, pengabaian dan penganiayaan di Taman Kucing Klang seperti tular di media sosial.
KUALA LUMPUR: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menafikan sebarang penindasan, pengabaian dan penganiayaan di Taman Kucing Klang seperti yang tular di media sosial sejak Ahad.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Datuk Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan selepas mengadakan tinjauan beliau berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselesaan Taman Kucing Klang.
Katanya, beberapa penambahbaikan akan dilakukan segera oleh MBDK dan akan dibantu oleh Sime Darby dalam masa terdekat bagi keselesaan kucing-kucing yang ada berhubung isu keadaan panas di waktu petang.
“Saya menghargai keprihatinan orang awam dalam isu ini namun beberapa perkara yang ditularkan adalah tidak benar sama sekali terutama kucing-kucing yang didakwa lapar dan terbiar.
“Malahan, dakwaan kematian kucing dalam jumlah yang banyak juga tidak benar dan hanya seekor sahaja yang mati sejak pengoperasian (diletakkan di luar taman oleh individu tidak dikenali) selepas saya sendiri mengadakan tinjauan bersama Sime Darby,” katanya.
Dalam kenyataan itu, beliau memberi jaminan akan memasang jaring pemedih bagi mengelakkan keadaan panas di situ.
Manakala Sime Darby akan membina anjung bagi keselesaan kucing-kucing serta penjagaan pemakanan juga turut diberi perhatian.
Tambah Noraini, kucing bersifat ‘territorial’ di mana ia memerlukan kawasan yang luas untuk melakukan pelbagai perkara tanpa sebarang sekatan.
Oleh itu kucing-kucing berkenaan akan dilepaskan dari kandang untuk bergerak di sekitar kawasan taman pada waktu pagi.
“Kita merancang untuk mengadakan kerjasama dengan sukarelawan-sukarelawan yang berminat dalam penjagaan kucing memandangkan sokongan masyarakat terhadap Taman Kucing ini begitu positif dan membanggakan” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial oleh seorang penggguna platform X berkaitan Taman Kucing Klang yang didakwa mengabaikan kucing-kucing yang berada di taman berkenaan.
Pengguna yang dikenali sebagai @pengwinseng, turut mendakwa tempat perlindungan berkenaan dibina dengan pengudaraan semula jadi tetapi tiada penebat pada bumbung sekaligus menjadikannya sangat panas untuk kucing.
Kata @pengwinseng, terlalu banyak kucing terbiar dikurung dalam satu kompaun dan dilihat tidak diberi sebarang pemeriksaan kesihatan.
Bukan itu sahaja, @pengwinseng juga mendakwa melihat beberapa kucing sakit dan seekor anak kucing mati.
Bagaimanapun, @pengwinseng ambil maklum berkenaan penambahbaikan yang akan dilakukan oleh MBDK dan akan terus membantu dan bekerjasama dalam pengoperasian Taman Kucing Klang.

Thank you everyone who has make an effort to make this known around. As MBDK has made improvements, let's move forward and work together to constantly try to visit and help out whatever we can to assist this operation.

— peng (@pengwinseng) September 2, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Taman Kucing Klang di Bandar Bukit Raja telah dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada 18 Ogos lalu.
Ia merupakan projek inovatif Sime Darby Property MBDK yang bertujuan menyediakan tempat selamat untuk kucing terbiar sambil mempromosikan pemilikan haiwan peliharaan.
#Taman Kucing Klang #Sime Darby #Tengku Permaisuri Norashikin #kucing
;