Isu tular sekolah padat: SK Cyberjaya 2 dijangka siap 2027

Bernama
September 2, 2024 14:15 MYT
Gambar kiri: Sebanyak 12 bilik darjah kabin pasang siap telah diserahkan kepada SK Cyberjaya. Gambar kanan: Tangkap layar video tular mengenai kesesakan SK Cyberjaya sebelum ini.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya 2 yang kini dalam fasa memulakan pembinaan dijangka siap pada 2027.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembinaan sekolah baharu dilengkapi dengan 36 bilik darjah dan pelbagai kemudahan lain itu dapat membantu menangani isu sekolah padat di Cyberjaya dan kawasan sekitar.
"KPM proaktif mengatasi isu sekolah padat di seluruh negara termasuk mengambil pelbagai pendekatan menerusi pembinaan bilik darjah kabin, pelaksanaan kelas terapung dan penyuraian murid ke sekolah berhampiran," menurut kenyataan itu.
Menurut KPM, kerajaan telah meluluskan pembinaan 26 buah sekolah baharu seluruh negara pada tahun ini.
Terdahulu, sebanyak 12 bilik darjah kabin pasang siap termasuk kerja ubah suai berkaitan, pendawaian elektrik, perabot, peralatan dan tandas telah diserahkan kepada SK Cyberjaya.
Dalam Majlis Penyerahan Projek Siap Kelas Kabin/Modular IBS SK Cyberjaya hari ini, pihak kontraktor telah menyerahkan simbolik projek siap kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang, disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPM Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi.
Projek bernilai lebih RM2 juta berkenaan diharap memberi penyelesaian jangka pendek kepada isu sekolah padat dihadapi SK Cyberjaya, selain memberi keselesaan kepada murid dan guru yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.
-- BERNAMA
#video tular #sekolah padat #Cyberjaya #SK Cyberjaya 2
;