Isu tiket penerbangan: Sabah, Sarawak, Brunei disyor bergabung
Sinar Harian
Mei 11, 2023 10:40 MYT
Mei 11, 2023 10:40 MYT
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan supaya tiga wilayah di Borneo termasuk negara Brunei Darussalam bergabung dalam industri penerbangan sebagai salah satu alternatif mengurangkan kadar harga tiket penerbangan yang meningkat terutama pada musim perayaan.
Beliau yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) berkata, perkara itu pernah dibincangkan oleh kerajaan Sabah di bawah pimpinannya sebelum ini dengan kerajaan Brunei Darussalam.
"Semasa kita kerajaan, saya telah perhalusinya malah saya telah berbincang dengan Sultan Brunei di mana Hornbill Skyways Sdn Bhd (Sarawak), Royal Brunei Airlines (Brunei) dan SabahAir (Sabah), kita ada tiga syarikat penerbangan yang berlesen.
"Saya maklumkan kepada Sultan Brunei di Sabah ketika itu ada 4 juta pelancong dari China datang. Mungkin kita boleh uruskan melalui pakej mungkin seminggu berada di Sabah, seminggu ke Sarawak dan seminggu di Brunei.
"Brunei ada kapal terbang tetapi kita tiada dan kalau ada gabungan dari tiga wilayah ini, kita ada kelebihan mempunyai minyak (petroleum) sendiri, jadi kita perlu melihat perkara ini," katanya kepada pemberita ketika ditanya isu tiket penerbangan yang mencanak naik ketika musim perayaan pada malam Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka ADUN Tanjung Aru Anjuran Bersama Bahagian Putatan di Tanjung Aru di sini.
Ditanya mengenai cadangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri di Sabah, beliau berkata ia bukan perkara yang mudah kerana perlu mengambil kira kos yang perlu ditanggung dalam industri itu nanti.
Sehubungan itu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna turut berharap agar ada beberapa langkah lain yang bukan saja untuk mengatasi isu harga tiket penerbangan tetapi juga jumlah penerbangan harus ditambah terutama pada musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan Hari Gawai nanti.
Sementara itu, Mohd Shafie akan mengadakan pertemuan secara rasmi bersama Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam masa terdekat berhubung kerjasama parti bersama UMNO.
Jelasnya, gabungan di peringkat Pusat sudahpun terlaksana menerusi Kerajaan Perpaduan namun di peringkat negeri perlu adanya usaha bagaimana UMNO dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut bersama Warisan. - Sinar Harian